KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026 sejajar dengan misi Grab Malaysia untuk memperkasakan rakyat dan mempertingkatkan perkhidmatan dalam landskap ekonomi yang dinamik.
Menurut syarikat penghantaran terkemuka negara itu, belanjawan ini menekankan pengukuhan tadbir urus sektor awam, pembangunan ekonomi lestari berteknologi tinggi, pertumbuhan inklusif, pembangunan bakat, serta sokongan kepada perniagaan kecil.
Pengarah Urusan Grab Malaysia Adelene Foo berkata syarikat terus meningkatkan pengalaman pengguna dan rakan kongsi melalui penyelesaian teknologi.
“Kami komited bekerjasama dengan kerajaan dan pihak berkepentingan industri untuk mempersiapkan negara menghadapi masa depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Grab Malaysia sedang memajukan penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara praktikal untuk memperbaiki pengalaman harian pemandu, rakan penghantaran, rakan peniaga, dan pengguna.
Ini termasuk penggunaan pemetaan hiper-lokal berasaskan AI, GrabMaps, bagi meningkatkan ketepatan alamat dan laluan; AI Driver Companion, ciri panduan pemandu untuk mencari permintaan dengan lebih cepat; serta AI Merchant Assistant, membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mempercepat pertumbuhan dan operasi.
“Usaha ini selari dengan Belanjawan 2026 untuk mempercepatkan penggunaan AI dan mengukuhkan infrastruktur digital. Kami akan terus melabur dalam rakan kongsi dan produk supaya lebih ramai rakyat Malaysia dapat menjana pendapatan dan bergerak yakin dalam ekonomi digital,”katanya.
Adelene berkata Grab Malaysia juga menyokong inisiatif seperti BUDI MADANI RON95 (BUDI95) untuk membantu pemandu e-hailing mengurus kos operasi harian.
Menurutnya syarikat itu menyediakan perlindungan insurans, akses PERKESO, alat keselamatan, serta manfaat harian termasuk pembiayaan dan penjimatan bahan api.
Selain itu, katanya program GrabAcademy dan kerjasama dengan GIATMARA membolehkan rakan pemandu dan penghantar memperoleh kemahiran baharu dalam keselamatan, alatan digital, dan latihan vokasional, seterusnya meningkatkan produktiviti dan daya tahan pendapatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial