EKONOMI > BERITA

MALAYSIA RAIH POTENSI DAGANGAN, PELABURAN RM24.45 BILION DI EXPO 2025 OSAKA -- MITI

13/10/2025 12:28 PM

Daripada Niam Seet Wei

OSAKA, 13 Okt (Bernama) -- Malaysia mengakhiri penyertaan enam bulan di acara Expo 2025 Osaka dengan memberangsangkan apabila meraih potensi perdagangan dan pelaburan berjumlah RM24.45 bilion.

Pencapaian itu terbukti mengatasi sasaran awal sebanyak RM13 bilion dengan peningkatan sebanyak 188 peratus, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Hairil Yahri Yaacob.

Beliau berkata jumlah RM24.45 bilion itu merangkumi masing-masing RM5.62 bilion dalam bentuk potensi eksport manakala RM12.79 bilion merupakan potensi pelaburan yang dijana menerusi 1,555 mesyuarat perniagaan.

“Sejumlah RM6.04 bilion pula daripada pemeteraian lebih 70 memorandum persefahaman, perjanjian dan kerjasama (MoU, MoA, MoC),” katanya pada majlis penutupan Pavilion Malaysia di sini, hari ini.

Hairil Yahri berkata perjanjian yang dimeterai itu menumpukan terutamanya sektor berimpak tinggi seperti semikonduktor, tenaga boleh baharu (TBB) dan teknologi hijau, kelestarian alam sekitar, pertanian serta pendidikan dan latihan.

“Pemeterian MoU dengan rakan-rakan strategik Jepun, termasuk antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) serta MoC Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan JETRO yang ditandatangani hari ini, juga membuktikan ekspo ini secara langsung telah memudahkan jalinan institusi lebih kukuh serta projek berorientasikan masa depan,” katanya.

Mengulas secara keseluruhannya, beliau berkata sektor seperti teknologi hijau, pembinaan dan perkhidmatan profesional, bahan kimia dan produk kimia, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta produk dan perkhidmatan halal terbukti menyumbang secara signifikan kepada prestasi potensi dagangan.

Dari segi kehadiran pengunjung, Hairil Yahri berkata Pavilion Malaysia mencatat rekod kehadiran sebanyak 3.51 juta pengunjung yang jauh mengatasi sasaran awal sebanyak 1.5 juta pengunjung.

“Analisis kami terhadap impak Pavilion Malaysia menerusi pelbagai saluran menerusi temu bual media arus perdana, keterlibatan di media sosial dan alatan analitik data di lokasi menunjukkan (majoriti) 84 peratus daripada 5,327 responden menyatakan minat untuk melawat Malaysia pada masa akan datang.

“Kemungkinan besar impak tarikan itu sudah dapat dilihat -- setakat Julai 2025, Malaysia mencatatkan ketibaan sebanyak 219,389 pelancong Jepun iaitu peningkatan 16.2 peratus daripada 2024,” katanya.

Hairil Yahri juga yakin momentum positif itu akan berterusan dengan kehadiran pelancong Jepun dijangka menyumbang secara signifikan kepada sasaran Tahun Melawat Malaysia 2026 iaitu sebanyak 47 juta pelawat.

Expo 2025 Osaka di Jepun itu berlangsung selama enam bulan pada 13 April hingga 13 Oktober 2025.

Pavilion Malaysia yang berkeluasan 2,654.52 meter persegi dan tiga tingkat itu bertemakan “Weaving a Future in Harmony,” (Menenun Masa Depan Dalam Keharmonian) yang memaparkan komitmen negara ini terhadap masa depan mampan, inklusif dan berwawasan.

Majlis hari ini turut dihadiri oleh Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Shahril Effendi Abd Ghany; Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Sikh Abdul Majid.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan