EKONOMI > BERITA

LEBIH 10,000 PEMOHON TERIMA REBAT MARIICAS SETAKAT 8 OKTOBER - MITI

13/10/2025 10:20 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Sebanyak 10,600 pemohon atau 87.2 peratus daripada jumlah pemohon yang disasarkan di bawah Program Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiiCas) berjaya membuat pembelian motosikal elektrik dengan menerima rebat setakat 8 Oktober lepas.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen hari ini menjelaskan setiap pemohon menerima rebat sebanyak RM2,400 justeru melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM26.10 juta.

“Bagi  2024, sebanyak 19 model motosikal elektrik telah ditawarkan kepada 3,582 pemohon yang berjaya membuat pembelian. Sementara itu, bagi 2025 (sehingga 1 Sept, 2025) sebanyak 28 model motosikal elektrik telah ditawarkan kepada 7,018 pemohon yang berjaya membuat pembelian.

“Peningkatan bilangan pembeli hampir 100 peratus ini amat memberangsangkan, dan cadangan untuk melanjutkan pelaksanaan program ini di bawah Belanjawan 2026 kini sedang dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan,” menurut MITI.

Kementerian itu menjelaskan sedemikian bagi menjawab pertanyaan Pang Hok Liong (PH-Labis) mengenai jumlah subsidi yang telah diberikan kerajaan menerusi MARiiCAS selain faktor kegagalan pemohon yang berdaftar dengan MARiiCAS untuk menuntut subsidi.

MITI memaklumkan MARiiCAS telah diluluskan dan diumumkan oleh kerajaan menerusi Belanjawan 2024, dan pelaksanaannya dilanjutkan sehingga 2025.

Program itu menyasarkan sebanyak 12,155 orang rakyat Malaysia untuk menerima manfaat daripada pelaksanaannya, dengan jumlah peruntukan RM29,172,000 telah disediakan, tambah MITI.

Menurut MITI, skim itu terbuka kepada warganegara Malaysia yang berpendapatan tahunan di bawah RM120,000 termasuk pelajar dan pesara yang mempunyai lesen memandu motosikal yang sah (B, B1 atau B2).

“Bagi menyertai program ini, pemohon perlu mendaftar akaun MARiiCAS sebelum memohon untuk membeli motosikal elektrik di bawah program ini.

“Sekiranya terdapat individu yang telah berdaftar di bawah Program MARiiCas tetapi tidak dapat menuntut rebat tersebut, ini disebabkan individu berkenaan tidak memenuhi syarat kelayakan pendapatan tahunan dan pemilikan lesen memandu yang telah ditetapkan,” tambah kementerian itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan