KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Kerajaan disaran menyemak semula pelepasan cukai korporat khususnya bagi syarikat yang merekodkan keuntungan luar biasa tetapi mengekalkan jurang gaji yang terlalu besar di antara pengurusan tertinggi dengan pekerja bawahan.
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC) Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata sudah tiba masanya untuk melaksanakan prinsip kesaksamaan cukai apabila insentif cukai dikaitkan dengan dasar gaji yang lebih adil dan tanggungjawab sosial korporat.
"Selain itu, pengukuhan kesatuan sekerja mesti menjadi sebahagian daripada perubahan struktur ekonomi. Hari ini, hanya 6.0 peratus tenaga kerja Malaysia terlibat dalam kesatuan.
"Ini jauh lebih rendah berbanding Korea Selatan (13 peratus), Indonesia (12 peratus) dan Sweden (65 peratus)," kata Mohd Shahar ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya, kesatuan yang kuat bukan sahaja memperjuangkan hak pekerja, tetapi juga membantu memastikan dasar gaji dan produktiviti berkembang seiring.
Tambahnya, peningkatan bahagian Pampasan Pekerja (COE) perlu dijadikan teras utama dalam memperkukuh asas ekonomi negara.
"Apabila lebih banyak bahagian Keluaran Dalam Negara Kasar diagihkan kepada gaji dan pampasan pekerja, ia secara langsung meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah, merangsang perbelanjaan domestik dan memperkukuh daya tahan ekonomi," kata Mohd Shahar.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya penyaluran sumbangan tunai rahmah (STR) disemak semula daripada setiap tiga bulan kepada setiap bulan atau setiap dua minggu seperti yang dilaksanakan di India.
Mohd Shahar berkata langkah ini dapat membantu rakyat mengurus perbelanjaan dengan lebih baik dan mengelakkan lonjakan perbelanjaan berkala.
"Bantuan tunai bukan penyelesaian kekal. Kerajaan perlu melangkah ke tahap seterusnya melalui kenaikan gaji minimum yang progresif, latihan semula tenaga kerja dan pemerkasaan ekonomi komuniti agar rakyat mampu membina daya saing sendiri," tambahnya.
Mohd Shahar turut menggariskan tiga pembaharuan utama dalam sektor perumahan bagi menangani ketidakseimbangan struktur yang semakin ketara dalam pasaran perumahan negara.
Beliau berkata perubahan cukai harta perlu dilaksanakan dengan menggantikan Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) kepada Cukai Keuntungan Modal (CKM) secara progresif selain memperkenalkan Cukai Spekulasi dan Kekosongan bagi mengekang aktiviti penahanan stok rumah tidak terjual.
Mohd Shahar memberitahu, tadbir urus perancangan perumahan juga perlu diperkemas melalui model berasaskan permintaan sebenar serta perubahan hasil negeri supaya perancangan pembangunan tidak hanya bergantung kepada projek berharga tinggi yang kurang mampu milik.
Selain itu, katanya, perlindungan bersasar bagi pembeli rumah pertama perlu diwujudkan dan semakan semula program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) perlu dilaksanakan agar pelaburan asing tidak menambah lambakan hartanah mewah di pasaran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial