KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2026 mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkenalkan pendekatan ekonomi dan inisiatif baharu yang dirangka khusus untuk memperkasa rakyat terutama golongan muda.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim berkata inisiatif pendidikan seperti pendidikan percuma untuk golongan kurang berkemampuan dan golongan kumpulan pertengahan memberi kelegaan kepada rakyat.
"Meskipun ada sebahagian pihak yang menyindir kerajaan apabila kita bercakap tentang soal pendidikan percuma, tetapi hari ini kerajaan MADANI membuktikan ia boleh dilakukan tetapi harus bergantung kepada keupayaan kewangan semasa oleh kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Usahawan Muda ASEAN Ke-10 di Pusat Pameran dan Konvensyen Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), di sini hari ini.
Muhammad Kamil menggantikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang tidak dapat hadir untuk merasmikan acara berkenaan.
Pada 10 Okt lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memgumumkan bahawa kerajaan akan memberi Pendidikan Percuma Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 5,800 anak keluarga miskin yang mengikuti pengajian di institut pengajian tinggi awam (IPTA), mulai tahun hadapan.
Beliau berkata inisiatif itu membabitkan peruntukan sebanyak RM120 juta setahun untuk keluarga miskin yang berpendapatan di bawah RM2,705.
Muhammad Kamil berkata Belanjawan 2026 turut memperlihatkan banyak faedah baharu kepada rakyat termasuk pengecualian cukai diberikan tanpa mengira latar sosio atau taraf sosioekonomi.
"Kerajaan menunjukkan bahawa Belanjawan ini mampu dilaksanakan dengan adanya tekad politik yang kukuh, tata kelola yang berintegriti dan pengurusan ekonomi yang cekap.
"Sekiranya semua ini dapat direalisasikan, penjimatan yang diperoleh boleh disalurkan semula untuk manfaat kepada rakyat," katanya.
Mengulas tentang Karnival Usahawan Muda ASEAN Ke-10, beliau berkata acara ini merupakan peluang besar untuk golongan muda mempamerkan potensi perniagaan mereka bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga di peringkat global.
"Platform ini jika dimanfaatkan sebaiknya bukan sahaja untuk membina rangkaian perniagaan, tetapi juga bagi meneroka peluang dan potensi perniagaan baharu khususnya kepada golongan belia," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial