KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Kumpulan Bank Dunia menerusi kerjasama dengan ASEAN, melancarkan Inisiatif Pembiayaan Grid Tenaga ASEAN (APG) bagi menyokong pembangunan serta integrasi grid tenaga nasional di serata rantau ini.
Pengarah Pembangunan Asia Selatan ADB Winfried F. Wicklein berkata bank itu telah menyatakan komitmen berjumlah US$10 bilion bagi membiayai grid ASEAN yang berkaitan dengan APG selain projek-projek penjanaan tenaga bersih dan sokongan persediaan seperti pinjaman, geran, bantuan teknikal serta pembiayaan campuran.
“Beberapa infrastruktur penjanaan itu perlu dibangunkan, termasuk penjanaan tenaga bersih. Kita juga sedang mengusahakan persediaan projek menerusi pinjaman, geran dan pinjaman campuran yang dapat menarik penglibatan rakan-rakan (kerjasama),” katanya kepada pemberita selepas Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF-25) di sini, hari ini.
Wicklein juga menyifatkan inisiatif itu semakin mendapat momentum menerusi kerjasama dalam kalangan negara anggota ASEAN, pembiaya dan pemaju projek dengan pelbagai kajian kebolehlaksanaan sedang dilaksanakan pada masa ini.
“ASEAN mempunyai penjanaan tenaganya sendiri daripada sumber berbeza seperti arang batu kepada tenaga boleh baharu, namun fokus utama Grid Tenaga ASEAN adalah tenaga bersih,” katanya.
Dalam pada itu, menerusi pembentangan bertajuk 'Financing the APG: Unlocking Investments through the APG Financing Initiative' (Pembiayaan APG: Menarik Peluang Pelaburan Menerusi Inisiatif APG), Pengurus Amalan Tenaga dan Ekstraktif Bank Dunia bagi Rantau Asia Timur dan Pasifik, Claudia Vasquez berkata pelan induk ASEAN kini menumpukan aspek pengukuhan kapasiti grid nasional, peralihan kepada penjanaan tenaga bersih dan mengembangkan kesalinghubungan, termasuk cadangan projek kabel bawah laut.
Beliau bagaimanapun menegaskan inisiatif berkenaan masih perlu mengatasi beberapa cabaran penting, termasuk keperluan pendanaan besar-besaran bagi persediaan projek, jurang penyelarasan, data projek terhad serta keperluan mengekalkan komitmen daripada kalangan negara anggota ASEAN.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Seri Fadillah Yusof menyaksikan majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara ADB dan Bank Dunia bagi inisiatif Pembiayaan APG berkenaan.
Bank Dunia setakat ini masih belum menyatakan jumlah komitmennya bagi inisiatif itu.
Sementara itu dalam ucapan perasmiannya, Fadillah berkata ASEAN melihat APG sebagai salah satu usaha kerjasama tenaga paling strategik di rantau ini yang penting dalam usaha meningkatkan keterjaminan tenaga selain langkah memperluaskan penggunaan tenaga boleh baharu.
“Pembiayaan APG ini penting kerana menjadi asas impian tenaga kita. Tanpa mekanisme pembiayaan yang mencukupi serta inovatif, projek yang paling berpotensi juga boleh terjejas.
“Sehubungan itu, kita mesti menggerakkan modal awal dan swasta, menyahrisiko pelaburan dan mewujudkan pengupaya persekitaran yang dapat menarik komitmen jangka panjang,” katanya.
APG bermatlamat mewujudkan kesalinghubungan tenaga serantau yang pada awalnya menerusi hubungan dua hala rentas sempadan, sebelum diperluaskan kepada rangkaian subserantau dan akhirnya membentuk grid kuasa Asia Tenggara yang bersepadu sepenuhnya.
Sejajar peranannya sebagai antara projek infrastruktur tenaga utama di bawah Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN, APG dijangka dapat meningkatkan perdagangan elektrik rentas sempadan, memenuhi permintaan tenaga selain mempertingkat akses bagi perkhidmatan tenaga di seluruh rantau ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial