KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Sunway City Iskandar Puteri (SCIP) muncul sebagai perbandaran hijau pertama di Malaysia yang menerima penarafan Emas daripada Malaysian Rating Corporation Sdn Bhd (MARC), seiring dengan penubuhan Rangka Kerja Kewangan Mampan yang komprehensif bernilai RM2 bilion.
Perbandaran bersepadu Sunway Group Bhd di Johor itu berkata pencapaian berkenaan yang direalisasikan melalui perjanjian pembiayaan hijau strategik dengan Alliance Bank Malaysia Bhd, menetapkan penanda aras baharu negara untuk pembangunan bandar yang bertanggungjawab dan mampan.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, SCIP berkata Sunway Iskandar Development Sdn Bhd (SIDSB) berjaya menyelesaikan terbitan bon kemampanan bernilai RM230 juta di bawah program nota jangka sederhana (MTN) RM2 bilion dengan Alliance Bank sebagai penasihat utama/pengatur utama tunggal, pengurus utama dan pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Property (Wilayah Selatan) Gerard Soosay berkata penarafan Emas MARC memberikan pengesahan bebas terhadap komitmen kemampanan kumpulan itu dan merupakan detik transformasi untuk pembangunan perbandaran mampan di Malaysia.
“Dengan mewujudkan Rangka Kerja Pembiayaan Mampan yang pertama untuk sebuah perbandaran hijau, kami membuktikan pembangunan bandar berskala besar boleh sejajar dengan piawaian ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) tertinggi sambil kekal berdaya komersial,” katanya.
Pencapaian itu turut mengukuhkan visi kumpulan untuk mewujudkan komuniti yang bukan sahaja cergas dari segi ekonomi, tetapi juga bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan inklusif dari segi sosial, katanya.
“Ia adalah visi yang telah lama kami perjuangkan sebagai Pemaju Komuniti Utama Malaysia dan ia mencerminkan komitmen berterusan kami untuk membangunkan perbandaran mampan yang benar-benar ‘Bersama Anda untuk Generasi Akan Datang’,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Perbankan Korporat dan Institusi Kumpulan Alliance Bank Teoh Chu Lin berkata: “Kami komited untuk menyokong perniagaan dalam perjalanan kemampanan mereka. Ini membawa kami lebih dekat kepada matlamat kami untuk mencipta perubahan dan impak positif terhadap alam sekitar dan komuniti yang mendapat perkhidmatan kami.”
SCIP berkata kelayakan kemampanan bagi kedua-dua rangka kerja dan bon itu telah disahkan secara bebas oleh MARC, dengan penarafan Emas mewakili penarafan kemampanan tertinggi yang boleh dicapai.
Ini menjadikan SCIP perbandaran pertama di Malaysia yang menerima penarafan Emas MARC, satu pencapaian luar biasa untuk pembangunan pelan induk.
“Tidak seperti penarafan konvensional yang menilai bangunan individu atau kemudahan tunggal, penilaian MARC terhadap SCIP merangkumi impak alam sekitar dan sosial bagi pembangunan yang dirancang di seluruh perbandaran itu, di samping tadbir urus, rangka kerja pengurusan risiko dan proses pemilihan projek,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial