KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) mengukuhkan peranannya sebagai pemudah cara teknologi mendalam negara dengan perasmian Aeromart Summit Kuala Lumpur (ASKL) 2025 di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE (MECC).
Sebagai Rakan Pelaburan Strategik kepada sidang kemuncak itu, MTDC menggunakan platform berkenaan untuk menghubungkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat teknologi Malaysia secara langsung dengan pengeluar peralatan tulen (OEM) global, pembekal Tier-1 dan peneraju penyelenggaraan, pembaikan dan pengubahsuaian (MRO) dalam salah satu konvensyen perniagaan aeroangkasa paling penting di Asia Tenggara.
Pengerusi MTDC Tan Sri Abd Rahman Mamat berkata sidang kemuncak itu menandakan perubahan ketara untuk Malaysia menempatkan dirinya dalam rantaian bekalan aeroangkasa global, daripada penyertaan pasif kepada sumbangan yang strategik.
“Malaysia telah membangunkan keupayaan sebenar dalam aerostruktur, kejuruteraan digital, MRO dan pemesinan bertetapan tinggi.
“Tugas sekarang adalah untuk memperluas keupayaan itu, melibatkan lebih banyak PKS kita dalam program global dan menutup jurang yang masih ada dalam mendapatkan pensijilan, produktiviti dan penggunaan teknologi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohammad Hazani Hassan berkata gabungan pembiayaan, padanan perniagaan dan sokongan teknikal mencerminkan mandat MTDC untuk memacu penggunaan teknologi mendalam merentas sektor strategik dan bukan sahaja kepada aeroangkasa.
Beliau berkata apabila PKS Malaysia menaik taraf keupayaan pemesinannya untuk aeroangkasa, keupayaan yang sama juga boleh digunakan untuk komponen kenderaan elektrik, sistem rel atau peralatan tenaga maju.
“Kami sengaja menggunakan aeroangkasa sebagai medan ujian untuk meningkatkan asas industri keseluruhan serta tahap kesiapsiagaan teknologi mendalam kami,” katanya.
Pada masa hadapan, MTDC berkata ia akan memberi tumpuan kepada tiga bidang dalam aeroangkasa dan mobiliti generasi akan datang, iaitu membangunkan keupayaan industri, mengukuhkan kesiapsiagaan pembekal dan memastikan modal insan sedia menghadapi masa depan.
ASKL 2025 merupakan konvensyen perniagaan aeroangkasa utama di Asia Tenggara, yang menggabungkan pameran, sesi pertemuan perniagaan ke perniagaan (B2B) yang disesuaikan dan sidang kemuncak yang menumpukan kepada aeroangkasa dan MRO. Acara ini berlangsung dari 10 hingga 11 Disember, 2025 di MECC.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial