EKONOMI > BERITA

MALAYSIA BERHASRAT TERAJU PERALIHAN HIJAU SERANTAU MENERUSI KERJASAMA KUKUH

17/10/2025 02:32 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Malaysia berhasrat memainkan peranan utama dalam usaha peralihan hijau serantau dengan memupuk kerjasama lebih kukuh antara kerajaan, industri dan komuniti bagi membina rantau yang lebih berdaya tahan dan kurang pelepasan karbon pada masa depan.

Pengerusi Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) Shareen Shariza Abdul Ghani berkata Sidang Kemuncak Kelestarian Kuala Lumpur (KLSS) dan Pameran dan persidangan Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia 2025 (IGEM2025) merupakan platform kemampanan utama negara, mencerminkan keazaman Malaysia untuk menjadikan hasrat itu sebagai satu tindakan bersama.

"Mesej Malaysia adalah jelas. Kami berhasrat untuk berada di barisan hadapan dalam peralihan global ini, meneraju dengan matlamat, diperkukuh oleh perkongsian, dan berasaskan tindakan," katanya dalam ucapan beliau semasa majlis pelancaran rasmi KLSS dan IGEM 2025, di sini, hari ini.

Shareen Shariza berkata Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Daya Tahan Iklim, yang diperkenalkan semasa sidang kemuncak itu, melanjutkan komitmen serantau ke dalam agenda nasional Malaysia dan menghimpunkan pelbagai sektor untuk mengukuhkan penyesuaian dan daya tahan iklim.

Beliau berkata langkah-langkah yang diumumkan di bawah Belanjawan 2026, termasuk 100 peratus Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) untuk syarikat yang mengguna teknologi hijau keluaran tempatan yang diperakui di bawah tanda MyHijau merupakan antara langkah yang dijangka memacu inovasi domestik dan mengukuhkan asas perindustrian negara.

“Inisiatif ini memberi ganjaran kepada perniagaan yang memilih teknologi mampan buatan Malaysia dan membantu membina sektor pembuatan yang lebih kukuh dan berdaya saing,” katanya.

Sejak 2010, MGTC telah membantu memudahkan RM76.8 bilion pelaburan hijau dan RM8.7 bilion pemerolehan hijau kerajaan, sambil menyokong 3,745 perusahaan dalam amalan mampan dan mencipta lebih daripada 29,000 pekerjaan hijau di seluruh negara.

Beliau berkata tumpuan seterusnya MGTC adalah untuk mengembangkan Ekosistem Transformasi Hijau, yang menyokong syarikat tempatan melalui latihan, khidmat nasihat, pensijilan dan akses pasaran untuk membantu mereka bersaing di peringkat global.

“Ekosistem ini bukan sahaja akan mempercepat usaha Malaysia ke arah pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 tetapi juga meletakkan industri kita untuk berkembang maju di pasaran antarabangsa,” katanya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan