EKONOMI > BERITA

IILM PERTINGKAT NILAI PROGRAM SUKUK KEPADA US$8.5 BILION

16/10/2025 09:12 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa (IILM) hari ini mengumumkan peningkatan nilai program sukuknya daripada US$6 bilion kepada US$8.5 bilion (US$1=RM4.22). 

Dalam kenyataannya, IILM berkata pencapaian itu hanya mengukuhkan lagi peranannya sebagai penyedia utama Aset Mudah Tunai Berkualiti Tinggi (HQLA) yang menyokong keperluan mudah tunai rentas sempadan institusi kewangan Islam di serata dunia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohamad Safri Shahul Hamid berkata peningkatan nilai itu mewakili trajektori pertumbuhan berterusan IILM serta komitmen menyediakan platform mantap untuk pengurusan mudah tunai dalam sistem kewangan Islam.

“Peningkatan nilai terbaharu bagi program sukuk ini adalah susulan kepada penambahan saiz daripada US$4 bilion kepada US$6 bilion dan memaparkan momentum pertumbuhan IILM serta peranan pentingnya dalam memajukan pengurusan kecairan Islam global.

“Menerusi usaha memperdalam dan mempelbagaikan asas aset, kita berada dalam kedudukan lebih baik untuk menyokong perubahan keperluan institusi kewangan Islam di serata dunia selain mengukuhkan daya tahan ekosistem kewangan Islam,” katanya.

Sejak terbitan pertamanya pada 2013, IILM telah menerbitkan lebih US$130 bilion menerusi lebih 300 siri sukuk jangka pendek dengan tempoh matang sebulan hingga 12 bulan.

Instrumen IILM turut diberi penarafan “A-1” oleh S&P Global Ratings dan “F1” oleh Fitch Ratings.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan