EKONOMI > BERITA

BURSA MALAYSIA DITUTUP RENDAH BERIKUTAN KELEMBAPAN SERANTAU DAN WALL STREET

17/10/2025 11:03 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Indeks utama Bursa Malaysia ditutup rendah, dijejaskan oleh kelemahan serantau, menjejaki petunjuk negatif Wall Street dalam tempoh semalaman dalam keadaan kebimbangan mengenai tarif dan bank-bank Amerika Syarikat (AS).

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.11 mata atau 0.32 peratus kepada 1,607.18 daripada 1,612.29 semasa ditutup pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran dibuka mengukuh 1.40 mata kepada 1,613.69 dan turun naik antara 1,604.72 dan 1,616.36 sepanjang sesi dagangan.

Pasaran meluas adalah negatif dengan 985 kaunter rugi melebihi 292 kaunter untung manakala 430 kaunter tidak berubah, 975 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.81 bilion unit bernilai RM3.03 ​​bilion berbanding 3.49 bilion unit bernilai RM2.85 bilion pada Khamis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran serantau ditutup kebanyakannya rendah, dengan tekanan jualan tertumpu kepada kaunter teknologi berikutan petunjuk lemah daripada Wall Street dalam tempoh semalaman.

“Kebimbangan yang tercetus semula mengenai bank serantau AS menggugat keyakinan pelabur selepas laporan kemerosotan kualiti pinjaman melibatkan dua pemberi pinjaman yang mencetuskan penjualan besar-besaran di Wall Street, mengimbangi peningkatan awal dalam sektor teknologi dan kecerdasan buatan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pasaran China dan Hong Kong mengalami penyusutan yang ketara apabila ketegangan perdagangan antara Beijing dan Washington terus meningkat.

Data ekonomi utama yang perlu diberikan perhatian minggu depan termasuk angka Keluaran Dalam Negara Kasar suku ketiga China, Indeks Harga Pengguna AS pada September dan Indeks Pengurus Pembelian Oktober zon Euro.

Indeks Hang Seng Hong Kong susut 2.48 peratus kepada 25,247.10, Indeks Nikkei 225 Jepun rendah 1.44 peratus kepada 47,582.15, Indeks Komposit IDX Indonesia berkurangan 2.57 peratus kepada 7,915.66, Indeks Komposit SSE China rendah 1.95 peratus kepada 3,839.76, dan Indeks Straits Times Singapura menyusut 0.63 peratus kepada 4,328.93.

“Bagi bursa tempatan, pelabur perlu kekal berhati-hati dalam persekitaran ketidaktentuan pasaran yang semakin meningkat. Kami menjangkakan indeks petunjuk pasaran kekal dalam sentimen konsolidasi dalam jangka pendek walaupun aktiviti belian saham semasa harga rendah mungkin berlaku,” kata Thong.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank rendah tiga sen kepada RM9.89, Public Bank susut dua sen kepada RM4.20, dan Tenaga Nasional berkurangan lapan sen kepada RM13.10 manakala IHH Healthcare meningkat 26 sen kepada RM8.30 dan CIMB Group tidak berubah pada RM7.34.

Bagi saham paling aktif, Aizo dan Pharmaniaga masing-masing meningkat setengah sen kepada lapan sen dan 27 sen, dan Genting Malaysia naik satu sen kepada RM2.34. Zetrix AI susut dua sen kepada 83.5 sen dan Tanco Holdings rendah dua sen kepada 86 sen.

Selain itu, saham paling untung antaranya Nestle menokok 30 sen kepada RM105.00, Hong Leong Bank naik 18 sen kepada RM20.96, Seremban Engineering menambah 8.5 sen kepada 65 sen, Hong Leong Financial Group meningkat lapan sen kepada RM17.08, dan Westports Holdings naik tujuh sen kepada RM5.34.

Antara saham paling rugi menyaksikan Malaysian Pacific Industries susut 68 sen kepada RM28.92, Ajinomoto dan Petronas Gas masing-masing rendah 30 sen kepada RM13.50 dan RM18.7 manakala Kelington susut 28 sen kepada RM5.52, dan Pentamaster Corp berkurangan 27 sen kepada RM3.91.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas rendah 77.14 mata kepada 12,004.91, Indeks FBMT 100 susut 61.81 mata kepada 11,742.02, Indeks FBM Emas Shariah menyusut 104.53 mata kepada 12,057.27, Indeks FBM 70 berkurangan 195.61 mata kepada 17,007.94 dan Indeks FBM ACE susut 96.87 mata kepada 5,278.89.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 29.97 mata kepada 18,192.44, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian rendah 2.58 mata kepada 171.05, Indeks Tenaga berkurangan  6.63 mata kepada 788.93, dan Indeks Perladangan rendah 0.37 mata kepada 7,860.86.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.24 bilion unit bernilai RM2.69 bilion daripada 2.01  bilion unit bernilai RM2.55 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 1.07 bilion unit bernilai RM116.62 juta berbanding 997.49 juta unit bernilai RM117.36 juta pada Khamis.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 497.93 juta unit bernilai RM216.54 juta daripada 479.68 juta unit bernilai RM179.84 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 497.58 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (475.20 juta), pembinaan (134.11 juta), teknologi (373.32 juta), perkhidmatan kewangan (60.94 juta), hartanah (184.36 juta), perladangan (25.03 juta), amanah pelaburan hartanah (23.16 juta), dana tertutup (83,800), tenaga (146.91 juta), penjagaan kesihatan (157.12 juta), telekomunikasi dan media (72.52 juta), pengangkutan dan logistik (35.21 juta), utiliti (55.94 juta), dan amanah perniagaan (125,000).

Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya akan ditutup pada Isnin, 20 Okt 2025 bersempena cuti umum Hari Deepavali.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan