KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd memaklumkan menerima notifikasi daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengenai yuran tetap regulatori tahunan baharu sebanyak RM28 juta dan levi derivatif yang perlu dibayar kepada SC.
Ia juga menerima kelulusan dalam prinsip SC mengenai cadangan semakan kepada penyenaraian terpilih dan yuran berkaitan regulatori untuk kedua-dua penerbit tersenarai dan peserta pasaran yang akan dikenakan oleh Bursa Malaysia.
SC menghantar satu surat bertarikh 17 Okt, 2025, katanya dalam makluman hari ini.
“Levi derivatif yang perlu dibayar kepada SC di bawah Seksyen 24(2) Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SCMA) 1993 sebanyak 37.5 peratus daripada hasil derivatif, serupa dengan susunan levi sekuriti,” katanya.
Menurut Bursa Malaysia, Yuran SC akan dikenakan untuk tiga tahun akan datang apabila jumlah keseluruhan yang perlu dibayar oleh Bursa Malaysia kepada SC akan dihadkan masing-masing kepada RM35 juta pada 2026, RM40 juta pada 2027 dan RM45 juta pada 2028.
Ia berkata perundangan subsidiari berkaitan yang dicadangkan untuk berkuat kuasa pada 1 Jan, 2026, sedang menunggu kelulusan daripada Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Levi sekuriti yang perlu dibayar kepada SC di bawah Seksyen 24(1) Akta SCMA 1993 dan susunan pembahagian semasa levi sekuriti sebanyak 37.5 peratus antara SC dan Bursa kekal tidak berubah.”
“Yuran SC akan disemak semula sebelum tamat tempoh susunan tiga tahun tersebut iaitu bagi 2029 dan tahun seterusnya,” katanya.
Berhubung cadangan Bursa Malaysia mengenai penyenaraian terpilih dan semakan yuran berkaitan regulatori, ia berkata Bursa Malaysia dikehendaki mengemukakan penyerahan rasmi untuk semakan dan kelulusan SC, sebelum pelaksanaan.
“Semakan terhadap yuran tertentu berkaitan penyenaraian dan regulatori dijangka berkuat kuasa pada Januari 2026,” katanya.
Tertakluk kepada semakan dan kelulusan akhir SC, yuran tambahan yang akan dikutip oleh Bursa Malaysia daripada semakan penyenaraian terpilih dan yuran berkaitan regulatori dianggarkan dalam lingkungan RM28 juta hingga RM34 juta setahun, terutamanya daripada peningkatan dalam yuran penyenaraian tahunan.
Ia berkata Bursa Malaysia akan berusaha menguruskan kosnya termasuk mendapatkan pembiayaan untuk cadangan pembangunan pasaran yang berkaitan daripada Dana Pembangunan Pasaran Modal bagi mengurangkan kesan penuh pelaksanaan Yuran SC.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial