EKONOMI > BERITA

PERDAGANGAN MALAYSIA BERDAYA TAHAN, MENINGKAT SEMULA KEPADA RM257.51 BILION PADA SEPTEMBER

17/10/2025 03:02 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama)  -- Perdagangan Malaysia terus menunjukkan pengukuhan pada September 2025, mengembang sebanyak 9.8 peratus tahun ke tahun kepada RM257.51 bilion, iaitu kembali meningkat daripada penguncupan dicatatkan pada bulan sebelumnya meskipun berdepan ketidaktentuan perdagangan global.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata pertumbuhan eksport kekal kukuh untuk bulan ketiga berturut-turut, meningkat 12.2 peratus tahun ke tahun kepada RM138.68 bilion, sementara import meningkat 7.3 peratus kepada RM118.82 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM19.86 bilion.

Menurut kementerian itu, pertumbuhan eksport pada September direkodkan merentasi semua sektor, dengan pengembangan dalam sektor perkilangan dipacu oleh barangan elektrik dan elektronik (E&E) yang merekodkan nilai tertinggi setakat ini, dengan peningkatan hampir RM11 bilion.

Penyumbang utama lain termasuk jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan optik dan saintifik, katanya.

"Sementara itu, sektor galian pula pulih selepas 13 bulan mencatatkan penguncupan, didorong terutamanya oleh kenaikan eksport bijih logam dan serpihan logam.

"Bagi sektor pertanian pula, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit mencatatkan peningkatan tertinggi," kata kementerian itu.

Malaysia, katanya, turut merekodkan peningkatan eksport ke rakan dagang utama, iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Kesatuan Eropah (EU).

“Eksport turut terus berkembang ke negara-negara rakan dagangan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan peningkatan ketara dicatatkan ke Mexico, India, Australia, New Zealand, Turkiye, United Kingdom (UK), Pakistan dan Kanada,” katanya.

Bagi tempoh Januari hingga September 2025, Malaysia mencatatkan nilai kumulatif tertinggi bagi perdagangan, eksport dan import dengan perdagangan meningkat 4.4 peratus tahun ke tahun kepada RM2.235 trilion.

“Eksport naik 4.8 peratus kepada RM1.170 trilion manakala import bertambah 4.0 peratus kepada RM1.064 trilion yang menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM105.65 bilion,” katanya.

Menurut MITI, Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) juga telah menaikkan unjuran pertumbuhan volum perdagangan barangan dunia bagi 2025 kepada 2.4 peratus (berbanding 0.9 peratus pada April 2025), dipacu oleh kenaikan perbelanjaan terhadap barangan berkaitan kecerdasan buatan (AI), peningkatan import dari Amerika Utara menjelang kenaikan tarif serta perdagangan yang kukuh di rantau-rantau lain.

Sejajar dengan trend global ini juga, kata MITI, Bank Dunia turut membuat semakan lebih tinggi terhadap unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2025 kepada 4.1 peratus (berbanding 3.9 peratus pada April 2025), sekali gus mencerminkan kestabilan permintaan domestik serta permintaan luar lebih kukuh daripada jangkaan, khususnya dalam sektor E&E.

“Tambahan lagi, Tinjauan Ekonomi 2026 menganggarkan perdagangan Malaysia akan berkembang sebanyak 3.9 peratus pada 2025 dengan eksport meningkat 3.3 peratus manakala import naik 4.6 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, kementerian itu berkata ketegangan perdagangan yang berterusan serta kemungkinan pelaksanaan tarif baharu dalam kalangan ekonomi utama, kekal menjadi cabaran.

Ketidaktentuan itu boleh mengakibatkan gangguan rantaian bekalan, peningkatan kos kepada pengeksport serta mewujudkan ketidaktentuan dalam landskap perdagangan Malaysia, yang berpotensi menjejaskan keupayaan negara untuk mengekalkan pertumbuhan yang kukuh.

“Sehubungan itu, pengeksport Malaysia digalakkan untuk mempelbagaikan pasaran, memperkukuh daya tahan rantaian bekalan dan sentiasa peka terhadap perubahan dasar perdagangan.

“Menerusi sokongan dan panduan daripada MITI dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), pengeksport boleh mengurus risiko dengan lebih berkesan dan merebut peluang baharu di pasaran global,” kata kementerian itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan