SHAH ALAM, 22 Okt (Bernama) -- Syarikat logistik SPX Express (SPX) hari ini melancarkan pusat pengisihan baharunya Bukit Raja Selatan (BRS) Sorting Centre SPX di Shah Alam.
SPX menerusi satu kenyataan berkata pusat pengisihan berkeluasan lebih 30,000 meter persegi itu merupakan sebahagian daripada pelaburan syarikat bernilai RM63.2 juta (US$15 juta) dalam Mesin Pengisihan Automatik (ASM) canggih bagi meningkatkan kecekapan operasi.
Menurutnya, langkah itu sekali gus mengukuhkan komitmen syarikat dalam ekosistem rantaian bekalan negara, seiring dengan usaha menjadikan sistem logistik Malaysia lebih cekap, inklusif dan responsif terhadap keperluan perniagaan di seluruh negara.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil merasmikan majlis pembukaan pusat pengisihan tersebut, di sini, hari ini.
SPX berkata pusat pengisihan di Bukit Raja Selatan itu yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan Internet Pelbagai Benda (IoT), mampu menyelaraskan pengurusan bungkusan serta mengendalikan lebih dua juta bungkusan sehari.
“Fasiliti ini mampu meningkatkan keberkesanan pengasingan bungkusan sebanyak 2.2 kali ganda dan dijangka menambah kapasiti operasi SPX di seluruh negara sehingga 80 peratus.
“Tempoh daripada penerimaan sehingga penghantaran kini juga dapat dipendekkan kepada kurang lapan jam,” katanya.
Selain berteraskan teknologi, fasiliti di Bukit Raja Selatan itu juga bakal menyediakan 1,000 peluang pekerjaan baharu.
“Sebanyak 60 peratus tenaga kerja mahir akan menerima latihan dalam operasi automasi yang dapat melahirkan pakar tempatan dalam bidang logistik berteknologi tinggi dalam jangka panjang,” kata syarikat itu.
Sementara itu, Ketua SPX Malaysia Cheah Lee Sun berkata fasiliti baharu itu mampu mengendalikan bungkusan hingga ke 200 destinasi berbeza disamping memperkukuh hubungan antara peniaga dan pengguna serta membolehkan penghantaran yang lebih cekap di seluruh negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial