Oleh Saraswathi Muniappan
KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Penerimaan teknologi Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) semakin meraih momentum di Malaysia terutama di Lembah Klang, yang digunakan secara meluas di kemudahan parkir dan sistem kawalan akses bangunan komersial.
Kalangan pakar kini melihat ANPR sebagai pilihan lebih baik untuk masa depan sistem pembayaran tol terutama di bawah kerangka Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF).
Ahli Bertauliah The Chartered Institute of Logistics and Transport (CMILT) Mohammad Nor Izzuddin Amaran berkata, tidak seperti sistem MLFF tradisional yang banyak bergantung kepada unit khas dalam kenderaan atau tag Pengecaman Frekuensi Radio (RFID), teknologi ANPR tidak memerlukan pemandu untuk memasang peranti tambahan.
Beliau yang juga calon Doktor Falsafah (PhD) tahun akhir di Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS) Universiti Teknologi MARA dan Ketua Pengurusan Rantaian Bekalan MAB Engineering Services (MAG) berkata demikian dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.
Mengulas selanjutnya, beliau berkata kelebihan utama teknologi ANPR ini membolehkan peralihan sistem yang lebih lancar dan dilaksanakan dengan pantas memandangkan sebahagian besar kenderaan telah dilengkapi dengan nombor pendaftaran yang boleh dilihat dan didaftarkan.
Keupayaan teknologi ini untuk mengenal pasti kenderaan tanpa halangan fizikal memastikan aliran trafik tidak terganggu sekali gus mengurangkan kesesakan di plaza tol dengan ketara.
“Pengintegrasian ANPR dalam sistem kutipan tol menjanjikan pendekatan yang lebih cekap dan mesra pengguna.
“Pemandu tidak perlu lagi bimbang untuk membawa atau memasang tag yang mungkin hilang atau rosak. Tidak seperti peranti fizikal, ANPR juga tidak mempunyai jangka hayat tetap yang perlu diganti,” katanya yang pernah terlibat dalam sistem MLFF.
“Ini melicinkan seluruh proses kutipan tol dan menambah baik pengalaman memandu secara menyeluruh,” kata Mohammad Nor Izzuddin yang menulis tesis PhD bertajuk: ‘Multi-Lane Fast Flow (MLFF) – A Revolutionary Way for Improving Traffic Flow and Customer Satisfaction at Toll Plaza.’
Difahamkan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) telah memulakan ujian sistem ANPR di wilayah utara, melibatkan laluan sepanjang 87 kilometer dari Hutan Kampung, Kedah ke Sungai Dua, Pulau Pinang sebagai projek perintis pada Oktober.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada Ogos berkata sistem ANPR merupakan langkah awal ke arah pelaksanaan sistem MLFF dalam tempoh dua tahun akan datang bagi mengatasi masalah kesesakan di plaza tol.
Mengulas selanjutnya, Mohammad Nor Izzuddin berkata sistem ANPR perlu disokong oleh infrastruktur pangkalan data yang kukuh dan kamera berketepatan tinggi bagi memastikan kejayaan pelaksanaan berskala besar.
Selain itu, mekanisme penguatkuasaan yang berkesan adalah penting untuk mengekalkan prestasi yang konsisten meliputi pelbagai keadaan pencahayaan, cuaca dan lalu lintas.
Pihak berkuasa optimis bahawa kemajuan dalam teknologi akan menangani cabaran ini sekali gus menjadikan ANPR sebagai penyelesaian yang boleh dipercayai dan berkesan dari segi kos.
Melalui usaha berterusan Malaysia ke arah inisiatif bandar pintar dan pendigitalan seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2026 dan Rancangan Malaysia ke-13 baru-baru ini, keupayaan ANPR untuk berkembang dan kemudahannya meletakkan teknologi itu sebagai pilihan bagi sistem tol di seluruh negara pada masa hadapan.
Ketika ditanya mengenai pilihan pembayaran tol tunggal, beliau berkata pelaksanaan sistem berkenaan mungkin pada awalnya mengehadkan persaingan dalam kalangan penyedia pembayaran memandangkan tumpuannya adalah untuk melaksanakan platform yang seragam dan konsisten untuk semua pemandu.
Bagaimanapun pendekatan ini turut mewujudkan asas yang stabil untuk kecekapan jangka panjang, integrasi data serta kebolehpercayaan perkhidmatan di seluruh rangkaian tol.
Dalam jangka panjang, persaingan dan inovasi masih boleh dipacu melalui perkhidmatan nilai tambah, penambahbaikan teknologi dan ciri-ciri mesra pengguna yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan yang dilantik.
Objektif utama adalah untuk memastikan sistem berkenaan sentiasa cekap, telus dan terus ditambah baik bagi memberikan kemudahan dan kesaksamaan lebih baik kepada semua pengguna jalan raya.
“Pendekatan yang ideal adalah untuk mengekalkan bilangan vendor yang terhad tetapi kompetitif yang akan mewujudkan inovasi serta kebolehpercayaan sambil mengekalkan sistem yang mudah dan mesra pengguna,” katanya.
Beliau berkata bagi Malaysia, keseimbangan ini dapat dicapai dengan mentauliahkan hanya beberapa penyedia berkelayakan yang telah memenuhi standard teknikal, keselamatan dan perkhidmatan yang tegas.
“Ini membolehkan persaingan yang sihat sambil memastikan pengguna menikmati pengalaman pembayaran tol yang konsisten dan lancar di seluruh negara,” katanya.
Bagi peranti dan opsyen pembayaran berasaskan akaun, Mohammad Nor Izzuddin berkata pemandu mungkin berdepan kesukaran jika kaedah pembayaran tol yang diterima memerlukan peranti atau akaun tertentu sahaja, terutama bagi pemandu yang tidak biasa dengan sistem digital, tidak memiliki peranti bersesuaian atau datang dari negara lain.
Keadaan ini mungkin menjejaskan keterangkuman dan kebolehcapaian untuk sementara waktu terutamanya bagi pengguna sekali-sekala dan segmen komuniti tertentu.
Sehubungan itu, adalah penting untuk memastikan terdapat panduan yang jelas, kemudahan pendaftaran yang pelbagai dan pilihan pengisian semula serta perkhidmatan pelanggan yang boleh diakses.
Penyediaan kaunter perkhidmatan fizikal, pusat tambah nilai runcit dan bantuan pelbagai bahasa akan turut membantu memastikan semua pemandu tanpa mengira latar belakang atau kesediaan digital berupaya mematuhi dan meraih manfaat daripada sistem baharu itu.
Ketika ditanya sama ada pelaksanaan MLFF pada akhirnya akan menyebabkan Malaysia mengguna pakai “sistem penetapan harga tol yang dinamik (berubah-ubah) berdasarkan algoritma,” beliau berkata pelaksanaan MLFF tidak secara automatik membawa kepada penggunaan sistem harga tol sedemikian.
Bagaimanapun, MLFF menyediakan asas teknologi yang dapat menyokong ciri berkenaan pada masa akan datang sekiranya kerajaan berminat untuk mendalami sistem itu.
“Penetapan harga yang dinamik, yang menyelaraskan kadar tol berdasarkan faktor seperti jumlah trafik atau waktu pengguna berada di jalan raya, telah dilaksanakan di beberapa negara bagi mengawal kesesakan dan mengoptimumkan penggunaan jalan raya,” katanya.
Bagi Malaysia, sebarang langkah ke arah penetapan harga yang dinamik memerlukan kajian yang teliti, rundingan dengan pihak berkepentingan dan penjajaran dasar bagi menjamin kesaksamaan, ketelusan dan penerimaan orang ramai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial