KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd menerima kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berhubung cadangan yuran SC yang terpakai kepada Bursa dan semakan semula yuran kawal selia dan penyenaraian terpilih untuk penerbit tersenarai dan peserta pasaran yang akan dikenakan oleh bursa itu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata ia menerima kelulusan berkenaan pada 30 Okt, 2025 di bawah Seksyen 9 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).
Kelulusan itu termasuk yuran berkaitan penyenaraian untuk Pasaran Utama, ACE dan LEAP, serta yuran berkaitan kawal selia. Notifikasi khusus akan dibuat kepada pihak berkepentingan yang berkenaan dan semakan yuran akan berkuat kuasa mulai 1 Jan, 2026, katanya.
Bursa itu berkata yuran tambahan yang akan dikutip setiap tahun hasil daripada semakan yuran berkenaan terutamanya daripada yuran penyenaraian tahunan, dianggarkan dalam lingkungan RM28 juta hingga RM34 juta setahun.
Ia berkata kenaikan yuran tambahan yang akan dikutip susulan semakan itu tidak akan memberi sebarang kesan material ke atas pendapatan Bursa dengan mengambil kira yuran SC yang diumumkan pada 17 Okt, 2025.
“Ini merupakan semakan pertama ke atas yuran berkaitan kawal selia dan penyenaraian Bursa sejak 2001 dan 2007.
“Semakan ini adalah tepat pada masanya dan wajar, sejajar dengan yuran SC yang baharu serta peningkatan kos pengawalseliaan, termasuk kos tenaga kerja dan sistem untuk menyokong peranan Bursa sebagai pengawal selia barisan hadapan dan pengendali pasaran,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial