EKONOMI > BERITA

PHARMANIAGA PERLUAS RANGKAIAN LOGISTIK DENGAN PEMBELIAN HARTANAH DI TERENGGANU DAN SARAWAK

30/10/2025 08:21 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Pharmaniaga Bhd, Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd memeterai dua perjanjian jual beli (SPA) secara berasingan untuk memperoleh hartanah di Terengganu dan Sarawak.

Pembelian itu sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan untuk mengukuhkan kapasiti logistik dan pengedaran Pharmaniaga.

Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, SPA pertama ditandatangani dengan Sinoria Sdn Bhd bagi pembelian bangunan berasingan setingkat di atas tanah pegangan pajakan di Kuala Nerus, Terengganu yang berkeluasan 11,549 meter persegi dengan harga RM19.5 juta.

Pharmaniaga berkata pembelian ini selaras dengan strategi syarikat bagi meningkatkan keupayaan logistik dan pengedarannya terutamanya di kawasan timur Semenanjung bagi memperbaiki kecekapan operasi selain menyokong pertumbuhan perniagaan pada masa hadapan.

 Dalam makluman berasingan, kumpulan itu berkata Pharmaniaga Logistics juga menandatangani SPA dengan Hyper Shipping Sdn Bhd bagi membeli bangunan perindustrian setingkat yang terletak di Kawasan Perindustrian Kidurong di Bintulu, Sarawak berukuran 3,731 meter persegi dengan harga RM11 juta.

Pembelian hartanah di Sarawak juga seiring dengan usaha kumpulan untuk mengembangkan jejak logistiknya di Malaysia Timur bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan serta meningkatkan prospek pertumbuhan jangka panjang.

Pharmaniaga turut memaklumkan iaitu kedua-dua SPA tersebut dijangka tidak memberi sebarang kesan material terhadap pendapatan kumpulan, pendapatan setiap saham, aset bersih, aset bersih setiap saham atau tahap hutang bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan