KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh EWI Capital Bhd, EWI Investment Holdings Ltd telah membuat peralihan strategik ke arah pemegangan pelaburan dengan komitmen sebanyak A$ 100 juta (RM276.5 juta) sebagai pelabur utama dalam Dana Pejabat Austarlia TrustCapital No 3 (Dana).
Dana itu akan diuruskan oleh firma pelaburan dan penasihat dari Singapura iaitu TrustCapital Advisors Investment Management Pte Ltd (TCA), yang mempunyai rekod dalam memperoleh, mengurus dan menjual hartanah pejabat di Australia.
EWI Capital melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata dana itu bertujuan untuk menghasilkan pulangan yang menarik selain disesuaikan dengan risiko daripada portfolio aset pejabat komersil utama dalam pasaran Australia yang terkemuka.
“Fokus utamanya tertumpu ke atas hartanah pejabat di Sydney, Melbourne, Canberra, Brisbane dan Perth yang disewa oleh syarikat korporat berkualiti tinggi dengan kedudukan kewangan yang kuat dan/atau entiti yang berkaitan dengan kerajaan.
“Dana itu mensasarkan aset di bawah pengurusan sehingga A$1 bilion (RM2.77 bilion) dan bertujuan bagi meningkatkan komitmen modal sehingga A$500 juta (RM1.38 bilion),” menurut syarikat itu.
Dana tersebut dijangka bertempoh lapan tahun, dengan tempoh pelaburan selama tiga tahun.
EW Capital melalui satu kenyataan berasingan berkata dana itu juga bertujuan untuk dilaburkan dalam aset pejabat utama di seluruh bandar-bandar besar Australia.
ia disasarkan untuk menerima kadar pulangan dalaman (IRR) kira-kira 10 peratus setahun sepanjang tempohnya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EWI Capital Datuk Teow Leong Seng berkata kerjasama dengan TCA sebagai pelabur utama akan membolehkan syarikat itu mendapat pandangan berharga dalam pelaburan hartanah.
“Di peringkat kumpulan, kami juga dapat menyumbang kepakaran serta pengalaman bertahun-tahun kami di Sydney dan Melbourne untuk meningkatkan proses membuat keputusan.
“Ini akan menyediakan kami dengan kedudukan terbaik yang membolehkan kami menilai secara bebas dan memilih peluang pelaburan langsung yang baik di sektor pejabat utama Australia, sekiranya peluang itu timbul,” katanya.
Syarikat itu berkata pelaburan tersebut akan menyediakan EWI Capital dengan pendedahan langsung ke dalam pasaran pejabat utama Australia, yang kini menawarkan hasil sewa yang stabil serta menarik dan potensi kenaikan daripada peningkatan modal dalam aset-aset yang ada.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial