Daripada Nor Baizura Basri
GYEONGJU (Korea Selatan), 30 Okt (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan seimbang Malaysia yang mengekalkan hubungan erat dengan Amerika Syarikat dan China, berjaya meletakkan negara sebagai jambatan yang menghubungkan pelbagai blok ekonomi di rantau ini.
Langkah ini yang turut berpaksikan kerjasama serantau melalui ASEAN dan platform seperti Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dilihat bertepatan dalam suasana perdagangan global yang semakin berpecah dan tidak menentu, kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan di sini, malam ini.
Terdahulu, Anwar yang baru sahaja tiba untuk lawatan kerja sempena Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) malam ini, menerima Laporan Tahunan Majlis Penasihat Perniagaan APEC (APEC Business Advisory Council–ABAC) 2025 daripada Pengerusi ABAC Malaysia Datuk Ruben Emir Gnanalingam.
Beliau memberitahu akan meneliti laporan itu untuk dijadikan input penting dalam perbincangan dasar sepanjang AELM, khususnya dalam memperjuangkan agenda yang berpaksikan kesejahteraan rakyat, keadilan ekonomi dan pembangunan serantau yang seimbang.
"Laporan ini menghimpunkan pandangan serta aspirasi komuniti perniagaan di seluruh ekonomi Asia Pasifik kepada para Pemimpin Ekonomi APEC dengan hasrat untuk memperkukuh pertumbuhan yang inklusif dan mampan, mempertingkat daya saing perniagaan serta memastikan manfaat kemakmuran dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat.
"Seruan laporan ini terhadap perdagangan terbuka berasaskan peraturan adalah selari dengan dasar keterlibatan Malaysia yang berkecuali dan pragmatik," kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.
Beliau kini dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari bermula malam ini.
Anwar dijadualkan menyampaikan kenyataan rasmi negara semasa Dialog Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC bersama Tetamu dengan penekanan akan diberikan mengenai kepentingkan keterangkuman dalam memperkukuh rantaian bekalan, pembangunan ekonomi digital dan kerjasama serantau untuk pembangunan mampan.
Di sela-sela AELM, Perdana Menteri juga dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa wakil ekonomi APEC.
Turut menjadi tumpuan, pertemuan Anwar dengan bakal pelabur terdiri daripada syarikat Namhae Chemical Corp dan JS Link secara berasingan selain pertemuan dengan wakil daripada Nvidia dan YTL Power.
Perdana Menteri kemudiannya akan menghadiri majlis makan malam bersama Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC sebelum mengakhiri hari tersebut dengan sidang akhbar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial