EKONOMI > BERITA

ANWAR TERIMA UCAPAN TAHNIAH DARIPADA PEMIMPIN APEC, CERMINKAN KEUPAYAAN KEPIMPINAN MALAYSIA

31/10/2025 01:34 PM

Daripada Nor Baizura Basri

GYEONGJU (Korea Selatan), 31 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ucapan tahniah yang diterima daripada pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) atas kejayaan menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 baru-baru ini, mencerminkan keupayaan Malaysia memimpin dengan hikmah dan kesungguhan.

Beliau menerima ucapan tahniah itu semasa temu santai dengan pemimpin berkenaan di luar Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) di sini.

“Berkesempatan bertemu santai dengan rakan-rakan pimpinan yang turut menghadiri AELM. Dalam suasana penuh mesra, kami bertukar pandangan terkait pelbagai isu semasa dan hala tuju serantau termasuk usaha memperkukuh kerjasama ekonomi yang lebih adil dan berdaya tahan,” kata Anwar dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Anwar disambut Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung yang mengalu-alukan kehadiran semua pemimpin ekonomi APEC, diikuti dengan sesi bergambar.

Antara pemimpin APEC yang hadir pada AELM kali ini termasuklah Presiden China Xi Jinping, Presiden Indonesia Prabowo Subianto dan Presiden Chile Gabriel Boric.

Malaysia antara 12 anggota pengasas APEC. Negara lain ialah Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand dan Amerika Syarikat.

APEC terdiri daripada 21 ekonomi, yang merangkumi hampir tiga bilion populasi, 62 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar global dan 48 peratus perdagangan dunia pada 2021. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan