Daripada Nor Baizura Basri
GYEONGJU (Korea Selatan), 31 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) menjadi penghubung di luar platform itu dengan penyertaan lebih meluas daripada Amerika Latin dan Afrika.
Beliau berkata langkah ini akan dapat menyaksikan agenda APEC diterjemahkan kepada sesuatu yang lebih transformatif, inklusif dan menjana impak yang besar.
Dalam ucapan pada Dialog Pemimpin Ekonomi APEC Bersama Tetamu di sini, Perdana Menteri berkata ini dapat dicapai melalui kerjasama formal atau tidak formal antara negara-negara ini dan ekonomi anggota APEC.
“APEC perlu menjadi ‘jambatan’ bukan sahaja kepada ekonomi Asia Pasifik, malah dalam memperluas keterlibatan dengan rantau Amerika Latin dan Afrika menuju ke arah tatanan ekonomi dunia yang lebih adil dan seimbang antara negara maju dan negara membangun (Utara Global dan Selatan Global).
“Ini juga boleh menetapkan hala tuju ke arah struktur ekonomi yang lebih saksama dan merapatkan jurang antara Utara Global dan Selatan Global,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan pada hari pertama Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC di sini.
Beliau berkata platform itu telah membuktikan sebagai perintis, walaupun secara sukarela, ia telah menjadi pemangkin dalam membentuk norma ekonomi global.
“APEC mempelopori semangat di sebalik perjanjian plurilateral yang kemudiannya diterima pakai oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), membangunkan rangka kerja awal untuk memudah cara perdagangan, menjadi contoh dalam menurunkan tarif secara sukarela untuk barangan mesra alam.
“Pendekatan APEC yang tidak terlalu tegas tetapi mampu mempengaruhi, prinsipnya adalah secara rundingan berbanding paksaan, mungkin apa yang dunia perlukan hari ini,” kata beliau.
Mengenai masa depan, Anwar berkata APEC, yang terdiri daripada 21 ekonomi, kini sedang menjana idea baharu untuk menangani cabaran dalam membentuk masa depan bersama.
“Ini termasuk pertumbuhan hijau dan kewangan mampan, transformasi digital dan akses saksama kepada teknologi, rantaian bekalan berdaya tahan dan mineral penting serta keterjaminan makanan, pertanian pintar dan peralihan kepada tenaga bersih.
“Fokus ini selaras dengan aspirasi Malaysia di bawah Kerangka Ekonomi MADANI, membina ekonomi yang berdaya tahan, inklusif dan mampan demi kesejahteraan rakyat,” kata Perdana Menteri.
Anwar menegaskan transformasi global semasa memerlukan pendekatan seluruh masyarakat untuk menjana perubahan sebenar dengan nilai tambah.
“Masa depan itu akan menjadi milik wilayah yang mampu menjalin kerjasama antara kerajaan, industri, akademia dan komuniti. Tadbir urus kolaboratif bukan mengenai berkongsi kuasa. Ia mengenai berkongsi matlamat,” kata Perdana Menteri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter      : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok       : @bernamaofficial