EKONOMI > BERITA

FELCRA UMUM AGIHAN KEUNTUNGAN INTERIM KEDUA SEBANYAK RM207 JUTA

01/11/2025 01:22 PM

KINABATANGAN, 1 Nov (Bernama) -- Pengerusi Felcra Berhad Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub mengumumkan agihan Keuntungan Boleh Agih Interim 2, Tahun 2025 berjumlah RM207 juta. 

Beliau berkata pembayaran agihan keuntungan itu akan dilaksanakan secara berperingkat bermula hari ini yang memberi manfaat kepada seramai 76,694 peserta di seluruh Malaysia, melibatkan 775 projek untung. 

Ahmad Jazlan berkata prestasi keseluruhan Projek-Projek Penyatuan dan Pemulihan Felcra Berhad sehingga Ogos 2025 mencatatkan jumlah keuntungan RM297 juta sekali gus menunjukkan peningkatan hampir RM78 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Saya berharap agihan ini bukan sahaja menjadi suntikan kewangan tetapi juga pembakar semangat kepada semua peserta untuk terus memajukan projek masing-masing. 

“Jadikan keuntungan ini sebagai modal untuk meningkatkan produktiviti, mengguna pakai teknologi baharu dan memperkukuh daya saing agar Felcra terus menjadi tonggak pembangunan ekonomi luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Agihan Keuntungan Interim 2/2025 Projek-Projek Peserta Felcra Berhad di Dataran Kinabatangan di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Ahmad Jazlan berkata Felcra Berhad memainkan peranan penting dalam memperkasa masyarakat luar bandar termasuk di Sabah, dengan pelbagai projek pembangunan dilaksanakan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

“Di Sabah, Felcra telah melaksanakan tanggungjawab mengurus tanah-tanah pertanian seluas 15,704 hektar melibatkan 2,252 peserta sejak tahun 1995," katanya.

Ahmad Jazlan berkata KKDW juga telah menyalurkan RM75.63 juta bagi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di Kinabatangan bagi tahun ini.

Beliau berkata ini termasuk RM33.26 juta bagi 10 projek Jalan Luar Bandar, Jambatan Luar Bandar (RM1.62 juta), lima projek Bekalan Air Luar Bandar (RM11.49 juta) dan RM13.25 juta bagi projek kesejahteraan rakyat seperti pembinaan baharu dan baik pulih rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin.

Di bawah Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) tahun depan, kerajaan sekali lagi meluluskan peruntukan RM27.9 juta untuk pembangunan luar bandar melalui Felcra, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan