KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Keuntungan bersih Nestle (Malaysia) Bhd (Nestle) meningkat kepada RM114.0 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2025 (S3 2025) daripada RM85.4 juta setahun sebelumnya.
Perolehan melonjak 21.9 peratus kepada RM1.76 bilion daripada RM1.45 bilion pada suku yang sama sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Nestle berkata pertumbuhan itu disumbangkan oleh jualan domestik dan eksport, disokong oleh asas perbandingan yang rendah pada suku ketiga 2024.
“Prestasi kumpulan itu membuktikan bahawa strategi komersial dan keupayaan pengedarannya yang terus relevan, disokong oleh kepercayaan pengguna yang berterusan terhadap jenamanya.
“Ia kekal komited untuk memenuhi jangkaan rakyat Malaysia terhadap kualiti, rasa dan nutrisi, sambil mengukuhkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta kemampanannya,” katanya.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis, 2025, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM387.50 juta berbanding RM374.52 juta setahun sebelumnya, manakala perolehan meningkat kepada RM5.20 bilion daripada RM4.75 bilion sebelumnya.
Nestle berkata pertumbuhan itu didorong oleh permintaan domestik dan pengembangan dua digit dalam jualan eksport, sekali gus mencerminkan daya saing kumpulan itu di peringkat global dalam portfolio produk keluaran Malaysia yang 100 peratus diperakui halal.
Oleh itu, kumpulan itu mengesahkan semula panduan terdahulu dan kekal komited untuk memberikan nilai mampan melalui inovasi, kecemerlangan operasi dan strategi yang berpusatkan pengguna.
Katanya, janji untuk memberikan pulangan yang mampan kepada pemegang saham dan mencipta nilai yang bermakna kepada semua pihak berkepentingan kekal menjadi keutamaan kumpulan itu, disokong oleh produk diperakui halal buatan Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial