EKONOMI > BERITA

INDUSTRI TAKAFUL CATAT ASET RM62.54 BILION SEJAK 2020 HINGGA PERTENGAHAN 2025 - MTA

01/11/2025 09:39 PM

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Industri takaful Malaysia mencatatkan aset sebanyak RM62.54 bilion sehingga pertengahan 2025, dengan peningkatan hampir dua kali ganda berbanding RM41.87 bilion pada 2020.

Pengerusi Persatuan Takaful Malaysia (MTA) Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata kadar penembusan takaful di Malaysia juga telah mencapai 19.54 peratus setakat pertengahan tahun ini.

 "Segmen takaful keluarga merekodkan 6.69 juta sijil aktif pada Ogos 2025, menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding 4.55 juta sijil sedekad lepas manakala jumlah sumbangan tahunan pula melebihi RM9.87 bilion pada tempoh yang sama.

"Kini terdapat lebih 6.69 juta sijil takaful keluarga aktif dan 113,000 wakil takaful berdaftar di seluruh negara," katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Ejen dan Pemimpin Takaful 2025 (TLAS 2025) di sini hari ini.

Wan Saifulrizal yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Prudential BSN Takaful Bhd berkata sebanyak RM7.89 bilion jumlah tuntutan telah dibayar pada 2024, dan secara keseluruhan sebanyak RM45.46 bilion tuntutan takaful keluarga telah dibayar sejak 2015 sehingga Disember 2024.

Katanya pencapaian itu adalah hasil usaha kolektif semua pihak dalam memperkukuh ekosistem industri, termasuk daripada aspek polisi dan perundangan, inovasi, sehingga kepada kesedaran masyarakat terhadap kepentingan takaful.

TLAS25 kembali untuk kali ketiga tahun ini dengan menghimpunkan semua pemegang taruh dalam industri takaful untuk mendapatkan input terkini, bertukar idea serta berkongsi cabaran dan inspirasi dalam sektor itu.

Bertemakan “Shaping the Future Takaful: Lead the Shift," Wan Saifulrizal berkata acara itu bukan sekadar pertemuan tahunan, tetapi satu platform penting untuk memperkukuh komitmen dan menyuntik semangat baharu dalam perjuangan bersama membangunkan industri takaful negara.

Sementara itu, Pengarah Konsumer dan Amalan Pasaran Bank Negara Malaysia (BNM) Lau Chin Ching berkata ejen takaful perlu melakukan perubahan dan menyesuaikan diri bagi memastikan mereka kekal relevan dalam industri takaful dengan menjadi celik digital, beretika dan berorientasikan matlamat dalam era digital ini.

Beliau berkata, dengan kehadiran chatbot di platform dalam talian, peranan ejen semakin kecil memandangkan teknologi boleh memberikan maklumat secara terus kepada pelanggan.

“Tetapi bolehkah ia (teknologi) menyatakan empati? Bolehkah teknologi ‘membaca’ air muka yang risau atau memberikan ketenangan apabila seseorang itu memerlukan ketika menghadapi masalah? Anda ialah penasihat -- anda perlu mendidik pelanggan anda serta menjadi penyokong mereka.

“Oleh itu, saya berpendapat anda perlu mempunyai hubungan sinergi dengan operator takaful dan celik digital memandangkan anda adalah penghubung antara operator dan pelanggan anda, dan anda perlu memastikan operator takaful bertindak demi kepentingan terbaik pengguna,” kata Lau dalam ucap tama beliau bertajuk ‘Beyond Compliance: Building a Purpose-Driven Takaful Industry’ pada majlis berkenaan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan