ALOR SETAR, 2 Nov (Bernama) -- Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) hari ini mengumumkan pelantikan Che Abdul Khalid Md Din sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BDB yang baharu berkuat kuasa mulai 1 November, 2025.
BDB dalam satu kenyataan berkata Che Abdul Khalid berpengalaman luas melebihi tiga dekad dalam sektor pembinaan dan pembangunan hartanah dengan rekod prestasi cemerlang dalam kepimpinan strategik dan pengurusan operasi.
"Sebelum menyertai Kumpulan BDB, beliau merupakan Ketua Pegawai Operasi (COO) di Kulim Technology Park Corporation Sdn Bhd (KTPC) daripada 1 Nov, 2021 hingga 31 Okt lepas.
“Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau memainkan peranan penting dalam merancang dan melaksanakan strategi korporat, menyelia fungsi utama seperti jualan dan perancangan strategik, pembangunan tanah, serta pengurusan hartanah,” katanya.
BDB berkata Che Abdul Khalid juga aktif dalam menarik pelaburan langsung asing dan domestik bagi Taman Teknologi Tinggi Kulim, di bawah kepimpinannya, KTPC mencatat prestasi pelaburan memberangsangkan dengan nilai pelaburan mencecah RM10.7 bilion (2022), RM20.1 bilion (2023) dan RM32.4 bilion (2024)
Selain itu, beliau akan mengetuai pelaksanaan projek-projek mengurus keseluruhan proses daripada reka bentuk dan pelaksanaan perjanjian sehingga penyerahan projek akhir kepada pelanggan.
"Che Abdul Khalid akan turut memimpin perkhidmatan pengurusan projek untuk pelabur, menyelia pembangunan kawasan perindustrian baharu, serta mengetuai misi perdagangan dan pelaburan antarabangsa bagi KTPC.
"Sebelum dilantik sebagai COO, beliau pernah berkhidmat sebagai Pengurus Besar KTPC dari April, 2019 hingga Nov, 2021 dan telah memegang jawatan Pengarah Eksekutif KTPC Resort Development Berhad sejak 2010," katanya.
Dalam pada itu, Che Abdul Khalid pernah memegang jawatan Pengurus Besar Pertabina Technical Services Sdn Bhd (2008-2018), Darulaman Realty Sdn Bhd (DRSB), BDB Land Sdn Bhd dan Kedah Holdings Sdn Bhd (2006-2008) dan bertanggungjawab terhadap operasi dan prestasi kewangan syarikat.
"Pelantikan ini dilihat akan memperkukuh kepimpinan Kumpulan BDB, seterusnya memacu pelaksanaan strategi pertumbuhan syarikat dalam sektor-sektor utama di Kedah, selaras dengan aspirasi Kumpulan BDB untuk terus menjadi peneraju dalam pembangunan mampan dan berimpak tinggi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter      : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok       : @bernamaofficial