BATU GAJAH, 6 Nov (Bernama) -- Lebih 20,000 peluang pekerjaan bakal diwujudkan melalui projek pembangunan Ipoh Sentral yang dijangka menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi Perak dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata projek berimpak tinggi bernilai RM6.25 bilion itu bukan hanya menjadikan Ipoh sebagai hab pengangkutan bersepadu malah juga menyediakan peluang pekerjaan berkompetensi tinggi.
“Tenaga kerja (yang akan diwujudkan) adalah dalam pembangunan keseluruhan Ipoh Sentral, termasuk kolaborasi antara Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan KTMB (Keretapi Tanah Melayu Bhd) yang berperanan dalam menjadikannya sebagai hab pengangkutan serantau seumpama KL Sentral.
“Peluang (pekerjaan) yang ditawarkan ini meliputi pelbagai segmen termasuk perhotelan, pusat beli-belah, kompleks perniagaan serta kemudahan lain yang menyokong Ipoh Sentral,” katanya pada sidang media selepas mewakili Menteri Besar Perak menyempurnakan Majlis Konvokesyen kali ketujuh Akademi KTM (MyRA) di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Teknikal (Menanggung Tugas, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB) Ahmad Nizam Mohamed Amin serta Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Dr Mohamad Norjayadi Tamam.
Mohammad Nizar berkata projek tersebut akan dibangunkan secara berfasa, dengan fasa pertama memberi penekanan awal pada landskap, warisan dan kemudahan masyarakat diikuti fasa kedua yang memfokuskan kepada pembangunan bercampur seperti perumahan, pejabat, ruang komersial serta hotel.
Pada 16 Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata projek seluas 27.3 hektar itu merupakan kolaborasi strategik antara Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) dan RAC serta dijangka menjadi mercu tanda ikonik baharu di Ipoh.
Ipoh Sentral dibangunkan di atas tanah seluas 66.651 ekar dengan anggaran nilai pembangunan kasar berjumlah RM6.2 bilion serta akan menjadi hab pengangkutan moden yang menghubungkan pelbagai mod perjalanan.
Projek itu dilaksanakan menerusi dua fasa iaitu fasa pertama melibatkan pemeliharaan kawasan hijau seluas 6.31 ekar termasuk penambahbaikan landskap serta taman rekreasi, manakala fasa kedua pula meliputi pembangunan bercampur di kawasan seluas 60.341 ekar dengan tempoh pembangunan dianggarkan selama 20 tahun.
Pada majlis hari ini sebanyak 195 graduan KTMB dan 34 peserta bakat Akademi Dalam Industri memperoleh Diploma Kemahiran Malaysia (TVET-I) serta Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) setelah menamatkan pengajian antara 12 hingga 18 bulan di Akademi KTM.
Sejak penubuhan pada 2016, Akademi KTM telah mewujudkan lebih 3,000 lepasan pengajian kemahiran Malaysia yang berperanan dalam bidang operasi dan penyelenggaraan kereta api negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial