Daripada Mohd Hisham Abdul Rafar
SHANGHAI, 6 Nov (Bernama) -- Kehadiran Malaysia melalui penyertaan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) amat membanggakan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata, Pavilion ACCCIM merupakan satu-satunya penyertaan Malaysia yang konsisten selama lapan tahun berturut-turut, malah diiktiraf sebagai antara 30 pavilion paling berpengaruh dalam edisi ketujuh tahun lepas.
Beliau berkata bagi tahun ini, Pavilion ACCCIM memberi tumpuan kepada produk makanan dan pertanian, dengan menampilkan 29 ruang pameran, 83 syarikat peserta serta 80 delegasi perniagaan, menjadikan keseluruhan 169 peserta dari Malaysia.
Penyertaan ACCCIM juga membuka peluang baharu kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia khususnya dalam sektor halal, agro-makanan, teknologi makanan dan produk luar bandar premium untuk menembusi pasaran eksport berimpak tinggi, serta mencerminkan kekuatan hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan China, katanya.
“Usaha ini juga seiring dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh ekosistem eksport luar bandar melalui produk berkualiti tinggi, selaras dengan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) 2030 dan agenda membandarkan desa di bawah KKDW (Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah), yang menggalakkan penyertaan usahawan desa dalam rantaian global.
"Saya mengucapkan tahniah kepada ACCCIM, dengan sokongan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, atas usaha mempromosikan produk dan jenama Malaysia di pasaran China," katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut merasmikan pembukaan Pejabat Cawangan China untuk Port Klang Free Zone (PKFZ) (Sdn Bhd) di Pavilion PKFZ sempena CIIE 2025.
Beliau berkata usaha berkenaan merupakan langkah strategik Malaysia dalam memperkukuh hubungan perdagangan, pelaburan dan logistik antara kedua-dua negara, selain meneguhkan kedudukan Pelabuhan Klang sebagai pintu masuk utama dan hab maritim serantau yang berdaya saing di peringkat global.
"Langkah ini juga memperlihatkan komitmen berterusan PKFZ untuk mengembangkan kerjasama rentas sempadan dalam logistik dan pelabuhan, memudahkan aliran perdagangan dua hala Malaysia-China, dan meningkatkan transformasi digital serta kelestarian sektor logistik di rantau ini.
“Saya yakin, usaha ACCCIM dan PKFZ ini bukan sahaja memperkukuh jenama Malaysia di pasaran global, malah juga berupaya menarik pelaburan bernilai tinggi, memperluas rantaian dan hab logistik serantau serta menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi luar bandar, selaras dengan visi Kerajaan MADANI dan DPLB 2030," katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS)@Shanghai di National Exhibition and Convention Center (NECC).
Sementara itu, menerusi catatan di Facebook, Ahmad Zahid berkata beliau turut melawat reruai pameran di MIHAS@Shanghai yang menampilkan pelbagai produk halal tempatan, termasuk hasil kalangan usahawan bumiputera.
“Alhamdulillah, saya amat berbangga melihat jenama Malaysia berdiri megah di pentas dunia, membawa bersama-sama nama baik negara melalui mutu produk halal yang diyakini dan berdaya saing tinggi.
"Saya turut meluangkan masa berinteraksi dengan wakil kementerian, agensi, negeri serta syarikat-syarikat bumiputera yang terlibat dalam MIHAS kali ini. Setiap produk dan inovasi yang dipamerkan memperlihatkan potensi besar Malaysia untuk terus menjadi peneraju industri halal global," katanya.
Beliau turut berharap semua usahawan yang menyertai MIHAS@Shanghai 2025 dapat memanfaatkan peluang berharga itu untuk memperkukuh jaringan perniagaan dan membuka ruang pasaran baharu di rantau ini.
Menerusi usaha berterusan, ia akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab utama industri halal dunia sekali gus menjadikan ‘Halal Malaysia’ terus diyakini dan dihormati di peringkat global, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial