KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- ASEAN perlu memikirkan semula rantaian bekalan dan mengukuhkan integrasi ekonomi serantau di tengah-tengah persekitaran perdagangan global yang semakin tidak menentu, kata bekas pengarah eksekutif Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik, Tan Sri Dr Rebecca Fatima Sta Maria.
Sta Maria, yang juga Pengarah Institut untuk Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) berkata negara -negara ASEAN perlu bersedia untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dinamik perdagangan, yang boleh meningkat atau merosot lagi.
"Kami jangka untuk berada sementara sahaja dalam persekitaran ini. Sebenarnya, kami akan melihat bagaimana ia akan berubah, sama ada ia akan menjadi sedikit baik atau menjadi lebih buruk," katanya hari ini semasa sesi panel Forum Media ASEAN ke-9 mengenai "Dinamik Ekonomi Global dan Impak Keseluruhannya ke atas ASEAN," hari ini.
Walaupun ASEAN berusaha untuk membangunkan rantaian bekalannya selain mengukuhkan integrasi serantau dengan rakan kongsi dialog seperti China, peralihan dalam landskap global kini memerlukan semakan strategi, kata Sta Maria.
Menteri-menteri ekonomi ASEAN telah bertindak pantas dalam menangani cabaran khususnya selepas Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat dengan membentuk Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN bagi merangka langkah-langkah seterusnya yang strategik.
"Pasukan petugas ini baru sahaja menyampaikan penemuan kepada menteri-menteri ekonomi dan menteri-menteri asing pada mesyuarat mereka, mesyuarat pertama dalam 20 tahun," katanya, sambil menambah bahawa ini adalah perkembangan yang penting dalam sidang kemuncak baru-baru ini.
Sta Maria berkata salah satu bidang yang perlu dipercepatkan adalah Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN, yang pada mulanya dijadualkan siap pada tahun ini tetapi hanya boleh bersedia untuk dimeterai menjelang tahun depan apabila Filipina menjadi tuan rumah persidangan akan datang.
Beliau menegaskan ASEAN perlu mengamalkan pendekatan baharu memandangkan persekitaran semasa bukan bersifat seketika tetapi adalah cabaran struktur.
"Terdapat keperluan untuk perubahan struktur di ASEAN. Melangkah ke hadapan berdasarkan kepada bagaimana politik saling berkaitan, sama seperti geoekonomi dan geopolitik, anda seharusnya perlu mempunyai dua kumpulan menteri yang akan bertemu secara kerap," katanya.
Pada masa yang sama, beliau berkata ASEAN harus mempertimbangkan untuk memperkenalkan tarif luaran yang sama dalam sektor terpilih sebagai satu langkah ke arah integrasi yang lebih mendalam.
"Perlu ada tarif luaran yang sama untuk sektor yang penting, sama ada tekstil atau elektrik dan elektronik (E&E)," katanya.
Beliau juga menggesa para penyelidik dan kumpulan pemikir untuk meneroka idea itu lagi sebagai kaedah bagi melayani ASEAN sebagai pasaran tunggal, sambil menekankan keperluan bagi memantau kesan pelaksanaan dan bukan sekadar pematuhan.
Dianjurkan oleh Sekretariat ASEAN dengan kerjasama Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, Forum Media ASEAN sehari ini menjadi platform untuk dialog terbuka antara ASEAN dan media di seluruh rantau berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial