KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Negara anggota ASEAN perlu menjadikan diri mereka sebagai sebahagian daripada satu rantaian bekalan yang saling berkait dalam industri semikonduktor dan pembuatan global, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.
Liew, selaku Timbalan Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN berkata syarikat di seluruh dunia kini lebih mengutamakan daya tahan berbanding kos, dengan banyak yang mengamalkan strategi dwisumber berbanding bergantung sepenuhnya kepada lokasi pengeluaran yang paling murah.
“Tidak banyak rantau di dunia yang memiliki rantaian bekalan yang begitu canggih dan kompleks dalam industri semikonduktor, pembuatan cip dan mineral kritikal.
“Kita harus melihat satu sama lain sebagai satu rantaian bekalan yang bersepadu, bukannya sebagai pesaing,” katanya kepada pemberita di Forum Media ASEAN Kesembilan di sini pada Khamis.
Liew berkata hanya beberapa rantau yang mempunyai tahap kecekapan perindustrian seperti ASEAN, dengan menyatakan bahawa Singapura, Malaysia dan Vietnam menerajui bidang pembuatan semikonduktor, Thailand dalam pengeluaran automotif, manakala Indonesia dalam sumber mineral kritikal.
Beliau berkata dalam hal ini ASEAN perlu mengiktiraf kekuatan kolektifnya dan beroperasi sebagai satu rantaian bekalan serantau yang bersepadu serta saling melengkapi, bukannya bersaing antara satu sama lain.
Katanya ASEAN mesti mempunyai keyakinan yang lebih tinggi terhadap keupayaannya untuk merealisasikan potensi ekonomi sepenuhnya.
“ASEAN perlu lebih percaya pada dirinya sendiri, mengambil peranannya dengan lebih serius dan mengiktiraf yang ia mempunyai potensi yang besar. Kita mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikan potensi itu,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial