EKONOMI > BERITA

SWITZERLAND KUKUH HUBUNGAN DENGAN MALAYSIA DALAM PERDAGANGAN, KEMAMPANAN, KESELAMATAN - DUTA BESAR

07/11/2025 11:47 AM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Switzerland yang terletak di tengah-tengah Eropah bersedia untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Malaysia dalam bidang penting antaranya perdagangan, kemampanan serta keamanan dan keselamatan.

Duta Besar Switzerland ke Malaysia Chantal Moser menerusi temu bual dengan Bernama baru-baru ini berkata pendekatan ini bertujuan memperteguh Strategi Asia Tenggara negara itu yang sedang dilaksanakan bagi tempoh 2023 hingga 2026.

Menurutnya inisiatif itu juga mencerminkan komitmen jangka panjang Bern untuk mengukuhkan hubungan ekonomi, antaranya menggalakkan pembangunan mampan dan menyokong kerjasama pelbagai hala.

“Kerajaan Switzerland sedang berusaha untuk mewujudkan rangka kerja yang sesuai terhadap ekonomi dan syarikat kami untuk beroperasi dalam pasaran yang berbeza.

“(Sehubungan itu), kami telah memeterai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-EFTA (MEEPA) yang melibatkan hubungan ekonomi antara Switzerland dan Malaysia,” katanya.

Moser berkata tiga bidang keutamaan itu turut meliputi kerjasama Switzerland dengan ASEAN, termasuk aspek lebih meluas seperti perubahan iklim dan pengurusan risiko bencana, pendidikan dan latihan vokasional serta dialog mengenai hak asasi manusia.

Bagi tahun hadapan, katanya kerajaan Switzerland sedang berusaha ke arah proses ratifikasi MEEPA serta pembaharuan dalam Strategi Asia Tenggara selepas 2026 sebagai kesinambungan kepada rangka kerja 2023-2026.

Walaupun terletak di kawasan tengah, Switzerland bukan sebahagian daripada Kesatuan Eropah bagi mengekalkan kedaulatan dan autonominya, namun ekonomi negara itu berkaitan dengan pasaran tunggal Eropah.

Menurutnya Switzerland akan terus memajukan agenda kemampanannya dengan Malaysia melalui kerjasama lebih erat dalam tenaga bersih dan pengeluaran mampan.

Ini termasuk menyokong projek Pendekatan Bidang Kuasa untuk Minyak Sawit Mampan di Sabah -- inisiatif yang menerima sokongan daripada Sekretariat Negara Bagi Hal Ehwal Ekonomi Switzerland dan dilaksanakan oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang menggalakkan pengeluaran minyak sawit mampan melalui penglibatan pelbagai pihak berkepentingan.

 

 

Malaysia, Switzerland Akan Kemas Kini Pakatan Pelaburan

Mengenai hubungan pelaburan dua hala, Moser berkata Switzerland dan Malaysia sedang berunding untuk mengemas kini perjanjian perlindungan pelaburan dua hala yang telah berkuat kuasa sejak 1978.

Rundingan itu berjalan lancar, dengan kedua-dua negara positif bahawa perjanjian itu dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Perjanjian perlindungan pelaburan dua hala menambah baik keselamatan undang-undang dan iklim pelaburan serta meningkatkan daya tarikan sesebuah negara sebagai lokasi pelaburan antarabangsa.

“Oleh itu, saya menjangka perjanjian yang dikemas kini ini akan mempertingkat aliran pelaburan dua hala dalam jangka sederhana dan panjang,” katanya.

Beliau berkata perjanjian itu adalah instrumen penting untuk menyokong keyakinan pelabur berpotensi, melengkapkan perjanjian perdagangan bebas yang baru dimeterai antara Malaysia dan negara anggota Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) iaitu Switzerland, Liechtenstein, Iceland, dan Norway.

Sukar untuk menjangka atau mengenal pasti sektor yang akan mendapat manfaat terbesar daripada perjanjian berkenaan.

Bagaimanapun Moser menyatakan keyakinan bahawa sektor eksport utama Switzerland ke Malaysia seperti farmaseutikal dan bahan kimia, jentera, elektrik dan elektronik serta instrumen ketepatan tinggi akan menerima manfaat daripada perjanjian yang dikemas kini itu.

Duta Besar Switzerland itu berkata pertukaran ekonomi antara kedua-dua negara itu juga akan membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana Switzerland, bukan sahaja kepada syarikat besar untuk meneroka potensi pasaran Malaysia.

“Terdapat pelbagai sektor yang mungkin terlibat memandangkan ekonomi kami sangat pelbagai dan mereka mungkin mendapat peluang di Malaysia dalam bidang seperti tenaga bersih, industri digital dan perkhidmatan,” katanya.

 

 

Daya Tarikan Malaysia Kepada Syarikat Switzerland

Kestabilan politik Malaysia telah menyumbang kepada peningkatan keyakinan syarikat Switzerland untuk memburu peluang pelaburan di negara ini manakala lokasi geografinya yang strategik serta potensi Malaysia untuk berperanan sebagai hab pembuatan serantau menjadi daya tarikan tambahan.

“Ia bukan sahaja berkaitan perdagangan dua hala antara Switzerland dan Malaysia malah mengenai penubuhan operasi di sini bagi memenuhi pasaran serantau yang lebih meluas.

“Sudah tentu Malaysia menawarkan banyak elemen positif seperti infrastruktur yang sangat baik, tenaga kerja mahir dan berbakat serta kemahiran berbahasa Inggeris,” katanya.

Malaysia dan Switzerland menjalinkan hubungan diplomatik pada 1963.

Switzerland adalah pelabur keenam terbesar di Malaysia manakala Malaysia menjadi destinasi kedua paling popular bagi pelabur Switzerland di Asia Tenggara selepas Singapura.

-- BERNAMA

 

TAG:

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan