Daripada Mohd Hisham Abdul Rafar
SHANGHAI, 7 Nov (Bernama) -- Pameran Halal Antarabangsa Malaysia di Shanghai (MIHAS@Shanghai 2025) yang diadakan sempena Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) mencatatkan jumlah jualan memberangsangkan sebanyak RM1.24 bilion dari tempoh 5-7 Nov.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sasaran ekspo itu kali ini adalah untuk mencapai nilai jualan mencecah sekurang-kurangnya RM3 bilion, dengan tiga hari lagi pameran berbaki.
MIHAS@Shanghai 2025 berlangsung dari 5 hingga 10 Nov.
"Kita ada tiga hari lagi dan Insya-Allah kita akan dapat mencapai (sasaran itu)," katanya pada sidang media di akhir lawatan kerja empat hari beliau ke China, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berada di sini atas undangan kerajaan China untuk menghadiri CIIE yang berlangsung di National Exhibition and Convention Center (NECC).
CIIE ialah inisiatif kerajaan China untuk menyediakan platform kepada negara-negara yang terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan bagi mempromosi dan mengeksport barangan dan perkhidmatan ke negara itu.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata jualan MIHAS@Shanghai 2025 dicapai melalui tiga komponen utama iaitu Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) bernilai RM651.8 juta, pameran RM271 juta, dan Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM315.3 juta.
Beliau berkata, 43 peratus daripada hasil jualan terdiri daripada produk makanan pra-paket, 16 peratus produk berasaskan minyak sawit, 12 peratus minuman, 10 peratus produk pertanian dan 5 peratus perkhidmatan kewangan Islam.
Menurutnya, aspek paling penting dalam menembusi pasaran China ialah kebijaksanaan mewujudkan permintaan daripada pembeli premium dan bukan premium.
"Jika usaha ini dapat dijalankan berterusan bukan sahaja melalui sistem perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan juga padanan perniagaan, tetapi juga secara dalam talian, saya yakin secara jangka panjang matlamatnya dapat dicapai,” katanya.
MIHAS@Shanghai 2025 ini merupakan edisi MIHAS kedua di peringkat antarabangsa dianjurkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) selepas kejayaan MIHAS@Dubai tahun lalu.
Ahmad Zahid yang juga merupakan Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) berkata, walaupun penyertaan kali ini melibatkan pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PMKS), namun usaha itu telah memperlihatkan kejayaan tersendiri kerana ia merupakan penyertaan kali keenam Malaysia di CIIE.
Justeru, katanya, perlu ada usaha untuk memperkukuh tindakan susulan selepas berakhirnya pameran itu.
"Dalam hal ini dan pada hemat saya, usaha yang dijalankan ini harus digandakan dengan tindakan susulan bukan sahaja oleh MATRADE tetapi oleh para pengusaha sendiri," katanya.
Dalam pada itu Ahmad Zahid juga memuji penyertaan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) yang turut meraih jualan sebanyak RM29 juta setakat ini.
"Setakat semalam sahaja mereka telah dapat jualan RM29 juta. Ada tiga syarikat yang mempamerkan produk sarang burung dan banyak produk-produk lain.
“Saya fikir ini akan dapat membantu memasarkan produk kita kerana kualiti produk kita bukan sahaja dari segi packaging (pembungkusan) tetapi dari segi kualiti produk kita sendiri,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial