Daripada Amanina Mohamad Yusof
SHANGHAI, 7 Nov (Bernama) -- Ketika Malaysia berusaha untuk memainkan peranan lebih kukuh dalam logistik halal global, pengendali pelabuhan utama Westports Holdings Bhd sedang meneroka peluang untuk memanfaatkan pasaran makanan dan minuman halal China yang berkembang pesat, diunjurkan mencecah AS$217.10 bilion menjelang 2034 (AS$1 = RM4.18).
Mengendalikan sebahagian besar kargo kontena dan konvensional Malaysia, Westports berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat untuk produk yang diperakui halal daripada pasaran pengguna terbesar di dunia.
Pengarah Urusan Kumpulan Westports Holdings Datuk Eddie Lee berkata syarikat itu berhasrat untuk mempromosikan Malaysia sebagai hab logistik halal serantau melalui penyertaannya dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Shanghai 2025 (MIHAS@Shanghai 2025) yang diadakan bersama Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE), salah satu platform promosi import terbesar di dunia.
“Bersama-sama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan MIHAS, kami mahu mempamerkan Malaysia kepada dunia.
“Logistik halal merupakan pasaran utama terutamanya dengan populasi China berjumlah 1.5 bilion. Malah untuk durian, kita kini mempunyai produk bernilai tambah diperakui halal. Rakyat China menyukai durian dan makanan halal dan ini memberikan peluang besar,” katanya kepada Bernama di luar acara MIHAS@Shanghai 2025 di sini.
Lee berkata dengan 20 peratus daripada jumlah kontena Westports datang dari China, pelabuhan itu bergantung pada lokasi strategiknya di sepanjang Selat Melaka dan piawaian perkhidmatan yang tinggi untuk menjadi pintu masuk pilihan untuk penghantaran produk halal.
“Bagi Westports, kami akan memastikan pematuhan penuh dengan keperluan halal. Setiap tuntutan halal disahkan melalui dokumentasi yang betul untuk memelihara kredibiliti dan integriti,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program Strategik Maybank Islamic Dr Muhd Ramadhan Fitri Ellias berkata penyertaan syarikat perbankan itu pada MIHAS@Shanghai 2025 bertujuan untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia mengembangkan perniagaan mereka di China.
Beliau berkata pihaknya akan membawa pengusaha-pengusaha PMKS yang juga merupakan pelanggan Maybank Islamic untuk bertemu dengan rakan stratregik mereka di China seperti syarikat Alibaba, antaranya bagi membuka pintu syarikat tempatan mengedarkan produk-produk mereka melalui platform dimiliki oleh Alibaba.
Pada masa sama, Muhd Ramadhan berkata syarikat juga mahu menarik perhatian pemain halal dari China untuk melabur di Malaysia dengan menjadikan negara sebagai hab kepada perusahaan halal mereka.
“Kita boleh membantu daripada sudut bagaimana perusahaan-perusahaan di China untuk melabur di Malaysia dan juga untuk mengembangkan perniagaan halal mereka di ASEAN kerana kita mempunyai rangkaian perniagaan bukan hanya di Malaysia, tapi juga di kesemua negara-negara ASEAN,” katanya.
Muhd Ramadhan berkata potensi pasaran halal China sangat besar disokong oleh masyarakat di negara itu yang mempunyai kesedaran dan kefahaman mengenai produk halal.
“Saya berpendapat ia sangat berpotensi. Malah, China sekarang adalah pengeksport produk-produk halal Malaysia kedua terbesar.
“Justeru, saya sangat yakin bahawa potensi pasaran halal di China sangat besar dan sekarang ni kesedaran masyarakat khususnya di China bahawa halal ni bukan hanya soal agama tetapi ia berkait dengan soal kebersihan, soal integriti dalam proses pembuatan makanan tersebut serta standard pengendalian makanan yang tinggi.
“Mereka bukan hanya melihat halal ni sebagai satu keperluaan keagamaan tetapi juga melihat sebagai piawaian kebersihan dan juga piawaian pengendalian makanan...boleh dianggap antara yang tertinggi dalam industri itu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial