Daripada Amanina Mohamad Yusof
SHANGHAI, 7 Nov (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) yakin dapat mencapai nilai jualan mencecah RM3 bilion di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia di Shanghai (MIHAS@Shanghai) 2025, yang berlangsung dari 5-10 Nov, di sini.
Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata walaupun angka itu melebihi sasaran awal RM2.5 bilion, namun beliau yakin ia boleh dicapai berdasarkan prestasi hari pertama dan kedua ekspo itu selain disokong oleh kehadiran pembeli premium yang dipadankan dengan pempamer dari Malaysia.
“Kita lihat ia bukan sukar kerana MATRADE berjaya mencari pembeli yang mempunyai kemampuan dan reputasi pembelian yang kukuh. Daripada 100 pembeli antarabangsa, 20 adalah pembeli premium yang mempunyai gabungan perolehan RM993 bilion.
“MATRADE mengambil pendekatan yang rapi, kita memperhalusi semua aspek, jadi bila mana berlakunya pertemuan antara pembeli dan syarikat dari Malaysia, ia akan menjadikan pertemuan yang sangat memberi ganjaran kepada perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) ,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Reezal Merican berkata Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) di bawah MATRADE akan memastikan padanan perniagaan yang berkualiti tinggi.
Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata INSP melibatkan langkah penilaian terlebih dahulu dan kemudiannya pertemuan atas talian melalui 47 pejabat perdagangan MATRADE di seluruh dunia, bagi memastikan perbincangan awal dilakukan sebelum pertemuan secara fizikal diadakan.
Antara pembeli premium yang dikenal pasti MATRADE adalah dari China, Australia, Brazil, Hong Kong, India, Mauritius, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.
Selain itu, beliau berkata MATRADE turut menjalin kerjasama dengan penganjur ekspo antarabangsa untuk membawa jenama MIHAS ke peringkat global.
“Di dalam negara, kita (MIHAS) boleh berdiri sendiri, tapi bila kita pergi ke luar negara, kita kena lihat pameran ekspo dagangan dunia yang lain yang mana kita boleh tumpang dan mereka juga boleh tumpang kita.
“Bukan sahaja kita yang nak manfaatkan pelanggan mereka, mereka pun nak perkara yang sama,” katanya sambil menambah setakat hari ketiga penganjuran MIHAS@Shanghai sebanyak 15 Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan syarikat Malaysia telah dimeterai.
Mengenai eksport halal, Reezal Merican berkata MATRADE sentiasa bekerjasama dengan agensi kerajaan untuk memastikan proses kemasukan produk Malaysia ke pasaran luar negara termasuk China berjalan lancar.
Menurutnya, MATRADE bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan untuk memastikan ekosistem halal dipatuhi.
“(Pematuhan) halal tidak hanya pada aspek yang ada kaitan dengan upacara keagamaan semata-mata malah ia turut meliputi aspek keselamatan, kebersihan, kebolehkesanan dan kelestarian.
“Proses (pematuhan) halal sangat ketat dan (persijilan) halal Malaysia dianggap sebagai mempunyai standard paling terbaik (di dunia),” katanya.
Reezal Merican berkata sekiranya syarikat Malaysia berdepan dengan cabaran seperti pematuhan peraturan di China dalam aspek pembungkusan dan pensijilan yang diperlukan, MATRADE sedia membantu melalui lima pejabat perdagangannya di China iaitu di Beijing, Shanghai, Chengdu, Guangzhou dan Hong Kong.
"Kami mempunyai hubungan baik dengan pihak berkuasa tempatan supaya apabila bantuan diperlukan, terutama dalam kalangan usahawan kita yang berdepan dengan kesulitan dari segi pematuhan, pastinya ia akan dibantu oleh MATRADE dan agensi lain yang berkaitan,” katanya.
MIHAS@Shanghai 2025 diadakan bersempena dengan Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) 2025.
Sebanyak 250 syarikat Malaysia merangkumi sektor makanan dan minuman, produk pertanian, barangan laris, peralatan perubatan serta penjagaan kesihatan menyertai ekspo itu.
MIHAS@Shanghai 2025 merupakan edisi global kedua MIHAS selepas kejayaan edisi pertama MIHAS@Dubai 2024 tahun lepas yang menjana jualan RM2.2 bilion.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial