KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan supaya pelaburan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) bersama-sama China dalam pembangunan unsur nadir bumi (REE) dipercepatkan untuk memanfaatkan potensi dalam sektor strategik itu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyuarakan saranan itu kepada Perdana Menteri China, Li Qiang.
“Dengan Perdana Menteri Li Qiang saya mengusulkan supaya pelaburan China bersama Khazanah mengenai nadir bumi itu dipercepatkan,” kata beliau ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan tambahan Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim (PN-Kuala Terengganu) mengenai sama ada kerajaan mahu mempertimbangkan dasar yang lebih agresif bagi membolehkan semakan dilakukan terhadap unjuran pertumbuhan ekonomi wilayah dalam Rancangan Malaysia Ke-13 bagi memastikan tiada jurang antara wilayah.
Media sebelum ini melaporkan REE adalah antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan dua hala antara Anwar dan Li Qiang dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
Agensi berita antarabangsa Reuters sebelum ini juga melaporkan Malaysia dan China dalam perbincangan awal melibatkan sebuah projek pemprosesan REE, dan Khazanah dijangka menjalinkan kerjasama dengan sebuah firma milik kerajaan China bagi membina loji penapisan di Malaysia.
Pada 6 Oktober lepas, Pengarah Urusan KhazanahDatuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata Khazanah, seiring kapasitinya sebagai sebuah dana kekayaan negara, sentiasa melakukan penyelidikan berkaitan potensi peluang dalam pelbagai sektor untuk memajukan agenda ekonomi negara.
“Kami menyedari mengenai perbincangan kerajaan dengan kerajaan (G2G) bersama-sama China membabitkan REE dan kami sentiasa bersedia menyokong usaha kerajaan untuk meneroka dan memahami sektor baharu dan strategik, termasuk REE, bagi menjamin masa depan ekonomi Malaysia,” katanya kepada Bernama di luar Forum Megatrends Khazanah 2025.
Pada 27 Ogos 2025, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan kerajaan komited untuk membangunkan dan menarik pelabur berpotensi bagi mengukuhkan aktiviti pengeluaran di sepanjang rantaian bekalan REE Malaysia.
Malaysia dianggarkan mempunyai sebanyak 16.1 juta tan REE bukan radioaktif dengan nilai pasaran mencecah RM809.6 bilion.
Sementara itu, Anwar berkata rundingan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang dimeterai baru-baru ini yang turut melibatkan REE dan tidak bermakna perkara itu hanya khusus kepada AS sahaja.
“Ada orang anggap perdagangan itu menyekat REE, dan hanya untuk AS...itu tidak betul sebab dalam rundingan dua minggu lepas di Korea Selatan, kita berikan ruang kepada JS Link bagi REE tambahan “super magnet” di Pahang,” katanya.
Pada Julai tahun ini, Lynas Rare Earths Ltd memaklumkan pihaknya telah menandatangani persetujuan awal dengan JS Link untuk membangunkan kemudahan pengeluaran magnet kekal REE di Malaysia.
Mengikut memorandum persefahaman itu, Lynas akan bekerjasama dengan JS Link bagi membangunkan kemudahan untuk menghasilkan sehingga 3,000 tan jenis magnet sinter kekal neodymium-besi-boron berhampiran loji bahan termaju syarikat itu di Kuantan, Pahang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial