PUTRAJAYA, 13 Nov (Bernama) -- Pameran Halal Antarabangsa Malaysia Shanghai (MIHAS@Shanghai) mencatatkan jualan keseluruhan berjumlah RM3.2 bilion, sekali gus mengatasi sasaran sebanyak RM3 bilion dan menandakan pencapaian penting dalam usaha Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju global industri halal.
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam kenyataan hari ini berkata pameran yang diadakan di bandar terbesar China dari 5 hingga 10 Nov 2025 itu menyaksikan 1,000 sesi padanan perniagaan dan 16 pemeteraian memoranda persefahaman (MOU) bernilai RM922.5 juta.
“Pencapaian luar biasa ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dan pusat rujukan global bagi ekonomi halal.
"Jualan RM3.2 bilion yang direkodkan di MIHAS@Shanghai membuktikan kualiti dan keyakinan tinggi pasaran antarabangsa terhadap ekosistem halal Malaysia, sekali gus menandakan langkah strategik dalam usaha pengantarabangsaan ekonomi halal negara,” katanya.
Menurut MATRADE, MIHAS@Shanghai bukan sahaja memperkukuh peranan Malaysia dalam sektor halal tetapi turut mempererat hubungan ekonomi dengan China, rakan dagang terbesar negara.
Ia juga menjadi penanda aras penting dalam misi eksport halal Malaysia dengan melonjakkan penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) ke peringkat antarabangsa.
Selain nilai jualan yang tinggi, MATRADE berkata MIHAS memainkan peranan penting sebagai platform mempertemukan pengeksport dan pembeli antarabangsa, selain mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperluas ekosistem halal di peringkat global, sejajar dengan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Antara tarikan utama pameran yang dianjurkan seiring dengan Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) itu ialah Program Pencarian Pembeli Antarabangsa (INSP).
Program berkenaan berfungsi sebagai pemudah cara padanan perniagaan dengan lebih 100 pembeli antarabangsa, termasuk 20 pembeli utama dari China, Australia, Brazil, Hong Kong, India, Mauritius, Qatar, Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi.
"Inisiatif ini membuka peluang lebih luas kepada pengeksport Malaysia untuk berhubung secara langsung dengan rakan strategik dan pengimport di rantau Asia Timur,” kata MATRADE.
CIIE merupakan inisiatif kerajaan China yang sejajar dengan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), menyediakan platform kepada pengeksport luar negara untuk berinteraksi dengan pembeli di pelbagai wilayah China, sekali gus meningkatkan akses dan keterlihatan produk Malaysia di pasaran besar itu.
Kerjasama sedia ada antara MATRADE dan Biro CIIE turut diperkukuh menerusi pemeteraian MOU awal tahun ini, yang dijangka meningkatkan lagi kemudahan perdagangan dan kehadiran pasaran bagi pengeksport Malaysia di China.
Menurut kenyataan itu, penganjuran MIHAS@Shanghai turut mencatat kemajuan ketara dalam memperkukuh integrasi ekonomi serantau, sejajar dengan hasil Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN dan Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN baru-baru ini.
Antara hasil utama ialah penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0, yang dijangka memperluas akses pasaran serta mengukuhkan kerjasama dalam sektor baharu seperti ekonomi hijau, ekonomi digital dan keterhubungan rantaian bekalan.
Pencapaian ini mengukuhkan komitmen Malaysia dan ASEAN terhadap pertumbuhan ekonomi yang mampan, inklusif dan berdaya saing, termasuk dalam sektor halal.
MIHAS@Shanghai 2025 merupakan edisi antarabangsa kedua pameran itu yang dianjurkan MATRADE, selepas kejayaan MIHAS@Dubai tahun lepas yang menjana perdagangan bernilai RM2.2 bilion.
Sebanyak 250 syarikat Malaysia daripada sektor makanan dan minuman, produk pertanian, barangan pengguna cepat laris (FMCG), peralatan perubatan dan kesihatan serta perkhidmatan kewangan menyertai pameran berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial