KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Alumni Program Pembangunan Syarikat Peringkat Pertengahan (PPSPP) mencatatkan jualan tahunan sebanyak RM39.5 bilion pada 2024, peningkatan 20 peratus berbanding 2023.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata hampir 60 peratus daripada jumlah itu adalah daripada eksport.
“Kejayaan ini turut menyumbang kepada kedudukan Malaysia sebagai negara perdagangan ke-24 terbesar di dunia,” katanya semasa berucap pada Sidang Kemuncak Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Peringkat Pertengahan 2025, di sini, hari ini.
Tengku Zafrul berkata pada 2024 alumni PPSPP turut berjaya menembusi 115 pasaran antarabangsa baharu iaitu peningkatan sebanyak 49 peratus tahun-ke-tahun.
“Selain ASEAN dan Asia, Syarikat Peringkat Pertengahan (SPP) turut memasuki pasaran Timur Tengah (Qatar), Afrika (Gabon dan Nigeria) dan Eropah (Romania dan Itali),” katanya.
Selain itu, katanya, menerusi inisiatif khas Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) itu juga sebanyak 6,408 peluang pekerjaan baharu diwujudkan pada 2024, naik 20 peratus daripada 5,339 pada 2023.
“Daripada jumlah ini, 68.5 peratus adalah jawatan berkemahiran tinggi manakala selebihnya merupakan jawatan separa mahir,” katanya.
Menurutnya, setakat tahun lepas, lebih 11,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) telah diintegrasi ke dalam rantaian bekalan eksport SPP iaitu peningkatan 10 peratus tahun-ke-tahun.
Beliau berkata amalan kemampanan, penjenamaan dan adaptasi digitalisasi telah berjaya mengukuhkan kedudukan SPP di pasaran antarabangsa.
“Dalam landskap ekonomi global yang mencabar, daya tahan negara bergantung kepada ekosistem SPP yang menjadi tulang belakang industri.
“Walaupun mewakili hanya 1.0 peratus (11,235) daripada jumlah syarikat yang berdaftar, SPP telah menyumbang sebanyak 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun 2023,” kata Tengku Zafrul.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata sejak penubuhannya pada 2014, PPSPP kekal menjadi misi utama untuk memperkasakan syarikat Malaysia mencapai kejayaan lebih jauh lagi.
Beliau berkata SPP Malaysia telah mengukuhkan kehadiran mereka di seluruh ASEAN selain berkembang ke pasaran baharu di Asia Selatan hingga Amerika Latin.
“Kita juga menyaksikan peningkatan ketara dalam penjenamaan (syarikat tempatan) di pasaran antarabangsa, mengubah persepsi daripada barangan “Dibuat Di Malaysia” kepada “Buatan Malaysia.”
“Kemajuan ini mencerminkan kepercayaan global yang semakin meningkat terhadap kualiti, inovasi dan daya tahan Malaysia,” kata beliau dalam ucapan alu-aluannya pada majlis tersebut.
Sidang Kemuncak itu yang Bertemakan “Membangun Fasa Seterusnya ASEAN: Syarikat Peringkat Pertengahan Malaysia Memacu Pertumbuhan yang Berdaya Tahan dan Inklusif”, menghimpunkan lebih 300 ketua pegawai eksekutif daripada rangkaian alumni PPSPP serta pemegang taruh utama industri dengan tujuan untuk memperkukuh ketersambungan, daya saing dan kerjasama dalam ekosistem perniagaan serantau.
Sementara itu MATRADE dalam satu kenyataan berkata PPSPP adalah satu daripada inisiatif berimpak tinggi kerajaan dalam Pelan Pembangunan Malaysia, bertujuan untuk mempercepatkan pertumbuhan eksport SPP menjadi jaguh serantau dan global.
PPSPP menyokong SPP berorientasikan eksport dengan pendapatan tahunan antara RM50 juta hingga RM500 juta bagi syarikat pembuatan dan RM20 juta hingga RM500 juta bagi penyedia perkhidmatan.
Setakat ini, 394 syarikat telah mendapat manfaat daripada PPSPP yang berfungsi sebagai platform untuk bimbingan, akses pasaran dan pecutan eksport.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial