KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Pemeteraian protokol baharu bagi eksport Sarang Burung Boleh Dimakan (EBN) antara Malaysia dan China hari ini mengukuhkan lagi hubungan perdagangan pertanian antara kedua-dua negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata protokol itu menggantikan perjanjian 2012 dan 2016 serta mengukuhkan semula kepercayaan China terhadap sistem kawal selia dan keselamatan makanan Malaysia.
“Malaysia kekal sebagai negara ASEAN pertama yang dibenarkan mengeksport sarang burung mentah, bersih dan tidak bersih ke China,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Eksport EBN, katanya pernah dihentikan sementara pada akhir 2024 kerana kebimbangan melibatkan penyakit ayam namun tiada kes melibatkan burung walit dan selepas perbincangan berasaskan sains antara Malaysia dan China, eksport dibuka semula pada Januari lepas.
Beliau berkata dengan protokol baharu itu, akses pasaran jangka panjang untuk industri EBN negara semakin terjamin dan industri berkenaan kini bernilai RM2 bilion hingga RM2.2 bilion setahun, dengan eksport ke China sahaja mencecah RM1.5 bilion.
“Melalui sistem MyWalet yang menjejak lebih 15,000 rumah walit, Malaysia terus memastikan standard kualiti dan ketelusan dipatuhi.
“Kerjasama ini memberikan manfaat besar kepada ribuan pengusaha dan pekerja industri. Malaysia dan China juga sedang berbincang untuk membuka lebih banyak laluan eksport termasuk produk akuatik, unggas serta makanan haiwan,” katanya.
Mohamad turut mengucapkan terima kasih kepada pihak Pentadbiran Am Kastam Republik Rakyat China (GACC) atas kerjasama dan kepercayaan berterusan dan berharap hubungan erat itu akan terus diperkukuh demi manfaat rakyat dan industri negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial