EKONOMI > BERITA

CELCOMDIGI CATAT UNTUNG BERSIH LEBIH RENDAH KEPADA RM341.23 JUTA PADA SUKU KETIGA 

17/11/2025 03:59 PM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- CelcomDigi Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah kepada RM341.23 juta bagi suku ketiga (S3) berakhir 30 September, 2025, daripada RM436.98 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.

Pengendali rangkaian mudah alih itu berkata penurunan keuntungan disebabkan asas kos yang meningkat, dengan jumlah kos naik 10.4 peratus atau RM168 juta terutamanya akibat kos berkaitan trafik yang lebih tinggi dan peruntukan yang lebih besar untuk kerugian kredit yang dijangka.

Hasil hampir tidak berubah pada RM3.12 bilion — susut RM1.64 juta berbanding tahun sebelumnya — disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam hasil pascabayar dan perkhidmatan rumah serta gentian optik, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi sembilan bulan pertama 2025, syarikat itu mencatatkan penurunan keuntungan bersih kepada RM1.16 bilion daripada RM1.22 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu, manakala hasil meningkat kepada RM9.51 bilion daripada RM9.40 bilion sebelum ini.

Sementara itu, dalam satu kenyataan akhbar, CelcomDigi berkata hasil perkhidmatan meningkat 1.5 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM2.73 bilion, didorong oleh prestasi baik dalam segmen terasnya iaitu pascabayar, prabayar, rumah dan gentian optik, serta penyelesaian perusahaan.

“(Ini mencerminkan) pelaksanaan pasaran yang berkesan oleh syarikat dan tumpuan berterusan untuk memberikan nilai kepada pelanggan,” katanya.

CelcomDigi berkata pengurusan kos yang berdisiplin membantu mengurangkan kesan peruntukan lebih tinggi untuk hutang ragu, kos barang yang dijual, susut nilai dan pelunasan, serta kadar cukai efektif yang lebih tinggi sepanjang suku berkenaan.

“Pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) menyederhana 16.0 peratus tahun ke tahun kepada RM648 juta, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) menurun 20.5 peratus tahun ke tahun kepada RM350 juta, mencerminkan tumpuan berterusan syarikat terhadap ketahanan kewangan jangka panjang di tengah-tengah pelaburan yang berterusan,” katanya.

CelcomDigi menutup suku itu dengan mencatatkan 20.5 juta pelanggan.

Syarikat itu mendedahkan bahawa penyepaduan dan pemodenan rangkaiannya telah mencapai lebih 90 peratus siap pada akhir September 2025, sekali gus memberikan pelanggan kualiti perkhidmatan yang dipertingkatkan pada rangkaian pintar CelcomDigi yang baru dinaik taraf.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi Albern Murty berkata prestasi suku ketiga menunjukkan kekuatan pelaksanaan syarikat dan kesan inisiatif pengurusan kos yang berdisiplin.

Beliau berkata keuntungan jangka pendek menyederhana disebabkan oleh pelaburan strategiknya yang bertujuan memperkukuh kapasiti pendapatan di masa hadapan dan menyokong pertumbuhan jangka panjang.

“Inisiatif penyepaduan dan transformasi teknologi maklumat kami sedang berjalan dengan baik, meningkatkan pengalaman pelanggan dan memastikan perkhidmatan yang lancar merentas semua titik interaksi antara pelanggan dengan syarikat.

“Dengan asas yang kukuh, kami yakin akan memulakan Tahun Kewangan 2026 dengan langkah yang mantap, sekali gus menyampaikan pertumbuhan, inovasi dan nilai tambahan kepada pelanggan dan negara,” katanya.

Sehubungan itu, CelcomDigi mengumumkan dividen interim ketiga sebanyak 3.6 sen sesaham (sama seperti suku ketiga 2024), yang akan dibayar pada 23 Disember, 2025.

Pada rehat tengah hari ini, saham CelcomDigi meningkat dua sen kepada RM3.64 sesaham, dengan 1.18 juta saham bertukar tangan pada sesi pagi.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan