EKONOMI > BERITA

KEUNTUNGAN BERSIH 99 SPEED MART MELONJAK 49.9 PERATUS KEPADA RM160.65 JUTA

17/11/2025 08:47 PM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Keuntungan bersih 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd untuk suku ketiga berakhir 30 Sept 2025 melonjak 49.9 peratus kepada RM160.65 juta berbanding RM107.16 juta yang dicatatkan semasa suku yang sama 2024.

Pendapatan menokok sebanyak 19.1 peratus kepada RM3.04 bilion daripada RM2.55 bilion, kata syarikat itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

"Pertumbuhan ini disebabkan oleh pengembangan dalam rangkaian outlet yang berterusan selain perbelanjaan pengguna yang lebih mantap ke atas keperluan harian, disokong oleh pelbagai inisiatif bantuan sosial oleh kerajaan.

"Kumpulan itu mencapai kenaikan bersih sebanyak 269 cawangan baharu dari tahun ke tahun, menjadikan jumlah cawangan kepada 2,966 setakat 30 Sept 2025," katanya.

99 Speed ​​Mart berkata selaras dengan pertumbuhan outlet, angka urus niaga jualan meningkat sebanyak 18.3 peratus kepada 141.8 juta, manakala saiz bakul purata kekal stabil pada RM21.40 untuk suku ketiga 2025.

Tambahan pula, jualan pukal platform e-dagangnya telah menyumbang RM15.1 juta dalam pendapatan tambahan berbanding dengan suku ketiga tahun sebelumnya.

Peningkatan jumlah jualan mengakibatkan kenaikan 21.7 peratus kepada RM328.3 juta dalam keuntungan kasar, disokong dengan tambahan 0.2 peratus dalam margin kasar kepada 10.8 peratus pada suku ketiga tahun ini.

Bagi sembilan bulan kumulatif, 99 Speed Mart mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM457.04 juta berbanding dengan RM365.85 juta setahun yang lalu, manakala pendapatan melonjak kepada RM8.36 bilion daripada RM7.40 bilion.

Lembaga pengarah telah mengisytiharkan dividen sebanyak 2.25 sen sesaham biasa, yang terdiri daripada dividen interim kedua bernilai 2.0 sen dan dividen interim khas sebanyak 0.25 sen, mencecah paras kira-kira RM189 juta.

Tarikh kelayakan adalah 2 Dis 2025 dan pembayaran akan dibuat menjelang 12 Disember 2025. 

 Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Lee Thiam Wah berkata pelan strategik untuk kepelbagaian ke dalam pasaran luar negara menjadi kenyataan selepas pembukaan outlet pertamanya di Fuzhou, China pada 31 Ogos 2025.

"Melangkah ke hadapan, kami tetap memberi tumpuan kepada peningkatan kebolehcapaian dan berada di landasan yang betul bagi mencapai sasaran tahunan kami iaitu sebanyak 250 outlet sebelum melangkaui 3,000 cawangan menjelang akhir tahun 2025," katanya.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan