EKONOMI > BERITA

GEOHAN HASRAT KUMPUL RM72.6 JUTA MELALUI IPO

17/11/2025 06:03 PM

KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) -- Pakar kejuruteraan geoteknik dan asas, Geohan Corporation Bhd berhasrat untuk mengumpulkan RM72.6 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 5 Disember 2025.

Pengarah Urusan Geohan, Lee Kim Seng berkata sebanyak RM40 juta atau 55.1 peratus, akan digunakan untuk pengembangan armada jentera kumpulan merangkumi 17 mesin baharu termasuk rig penggorek berputar, kren berantai dan penggorek tanah.

Daripada RM72.6 juta yang dikumpulkan, RM40.0 juta atau 55.1 peratus daripada hasil akan diperuntukkan bagi membeli 4 rig penggorek berputar dan beberapa jentera lain, manakala RM25.6 juta atau 35.26 peratus akan menjadi modal kerja," katanya semasa pelancaran prospektus syarikat itu hari ini.

Baki RM7 juta atau 9.64 peratus, akan diketepikan sebagai perbelanjaan penyenaraian.

Pengarah Eksekutif Bukan Bebas Geohan, Oh Chin Wah berkata syarikat itu akan memberi tumpuan kepada pengembangan jentera untuk menyokong rancangan pertumbuhan sambil mengukuhkan usahanya memasuki Singapura.

"Kami akan memasuki pasaran Singapura dengan skala yang lebih kecil, memberi tumpuan kepada projek infrastruktur terlebih dahulu.

"Armada jentera kami terdiri daripada mesin-mesin dari Jerman yang agak baharu, berusia kurang daripada 10 tahun dan kami akan menggunakan sumber-sumber tersebut di Malaysia untuk bekerja di Singapura, ini akan memberikan kami daya saing kos," katanya.

Oh menambah Geohan merancang untuk meningkatkan kecekapan operasinya dengan mewujudkan hab operasi di Johor dalam masa terdekat, membolehkan syarikat itu membuat sinergi dalam operasi Malaysia-Singapura.

Untuk jangka masa panjang, Geohan tetap memberi tumpuan kepada Malaysia dan Singapura, Oh menggambarkan kedua-dua pasaran adalah stabil dan syarikat tersebut amat mahir didalamnya.

Sementara itu, IPO Geohan merangkumi terbitan sebanyak 132 juta saham biasa baharu pada 55 sen setiap satu.

Daripada jumlah ini, 22 juta saham baharu diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, 11 juta saham kepada pengarah, kakitangan termasuk individu yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan, 55 juta saham secara penempatan persendirian untuk pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), manakala 44 juta saham lagi bagi pelabur institusi serta pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.

Modal saham terbitan yang dibesarkan oleh syarikat akan terdiri daripada 440 juta saham dengan permodalan pasaran sebanyak RM242 juta.

Permohonan bahagian terbitan awam telah dibuka mulai hari ini dan ditutup menjelang 5 petang, 21 Nov depan.

Alliance Islam Bank Bhd merupakan penasihat utama, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan untuk IPO itu.

-- BERNAMA  

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan