EKONOMI > BERITA

BANCI EKONOMI 2026 SASAR 1.2 JUTA PERTUBUHAN DI MALAYSIA -- DOSM

19/11/2025 01:24 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Kira-kira 1.2 juta pertubuhan di seluruh Malaysia bakal terlibat dalam Banci Ekonomi 2026 (BE2026), kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

Dalam satu kenyataan hari ini, DOSM berkata berdasarkan jumlah itu, sebanyak 180,000 daripada pertubuhan perniagaan berdaftar itu terdapat di Wilayah Persekutuan, iaitu pertambahan pertubuhan sebanyak 19.5 peratus berbanding Banci Ekonomi 2023.

“Berdasarkan bilangan ini, pertubuhan di Wilayah Persekutuan dianggarkan dengan pecahan kepada mikro sebanyak 58.7 peratus, kecil 35.0 peratus, sederhana 1.6 peratus dan besar 4.7 peratus,” katanya. 

Menurut DOSM, kedudukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai penyumbang kedua tertinggi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia selepas Selangor pada 2024 dengan sumbangan 16.1 peratus kepada nilai KDNK berjumlah RM265.8 bilion, iaitu meningkat sebanyak 6.2 peratus.

“Sektor perkhidmatan yang mengungguli ekonomi berkembang 5.5 peratus mengatasi pertumbuhan nasional (5.3 peratus).

“Pertumbuhan ini disokong oleh subsektor perdagangan borong & runcit, makanan & minuman dan penginapan serta subsektor kewangan, insurans, hartanah & perkhidmatan perniagaan.

“Sementara itu, sektor pembinaan dan sektor pembuatan masing-masing meningkat 21.1 peratus dan 4.3 peratus,” katanya. 

DOSM hari ini telah menganjurkan sesi libat urus BE2026 bersama pihak berkepentingan dan persatuan perniagaan bagi peringkat Wilayah Persekutuan.

Ia dihadiri lebih 200 orang peserta dari pelbagai agensi dan persatuan industri bagi pemakluman awal pelaksanaan BE2026.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Mohd Uzir menyeru agar semua pihak bersama-sama menjadikan pelaksanaan banci itu sebagai satu tanggungjawab nasional dalam usaha mengukuhkan daya saing negara, memacu inovasi dan menjamin kemakmuran ekonomi Malaysia yang mampan, inklusif serta berdaya tahan.

Bertemakan ‘Data Nadi Ekonomi Rakyat’, BE2026 akan dilaksanakan di seluruh negara bermula Februari hingga Oktober 2026 melibatkan semua pertubuhan perniagaan dan ‘pertubuhan bukan berasaskan keuntungan’ di Malaysia termasuk semua sektor ekonomi iaitu pertanian, pembuatan, pembinaan, perlombongan & pengkuarian dan perkhidmatan.

BE2026 merupakan banci keenam dilaksanakan di Malaysia sejak 2001.

BE2026 dilaksanakan di bawah Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989) dan Seksyen 5 di bawah akta ini mengkehendaki mana-mana pertubuhan yang beroperasi di Malaysia untuk memberikan maklumat sebenar atau anggaran terbaik kepada DOSM.

Liputan BE2026 akan menggunakan Malaysia Standard Industrial Classification (MSIC) 2025 yang merangkumi lima sektor, 17 seksyen dan 1,216 industri yang telah dikemas kini bagi mencerminkan perubahan struktur ekonomi semasa termasuk kemunculan industri berasaskan inovasi, tenaga lestari, teknologi maklumat dan ekonomi digital.

Selaras dengan aspirasi pembangunan negara, BE2026 menyokong pelaksanaan dasar-dasar nasional utama termasuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Agenda Ekonomi Digital, Revolusi Industri 4.0, SDG 2030, dan Pelan Strategik Ekonomi Bumiputera 2035.

“Data yang diperoleh akan digunakan untuk menilai produktiviti, pelaburan, peluang pekerjaan, penggunaan teknologi dan daya saing ekonomi negara.

“Hasil pelaksanaan BE2026 akan diterbitkan melalui 51 penerbitan rasmi bagi memudahkan akses pengguna terhadap maklumat ekonomi mengikut sektor dan negeri,” kata DOSM.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan