EKONOMI > BERITA

SARAWAK ENERGY PERLUAS SOKONGAN KEPADA VENDOR MELALUI PUNB, UOB

20/11/2025 06:03 PM

KUCHING, 20 Nov (Bernama) -- Sarawak Energy Bhd (SEB) telah memperluaskan sokongan kepada vendor tempatan melalui kerjasama terkini dalam kewangan dengan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan United Overseas Bank (UOB) Malaysia, bertujuan untuk meningkatkan keupayaan vendor serta mengukuhkan daya tahan rantaian bekalannya.

SEB berkata kerjasama itu telah dirasmikan melalui dua memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani di Menara Sarawak Energy, di sini pada 12 November lepas. "Perkongsian ini akan membolehkan vendor-vendor tersebut mendapat pembiayaan untuk modal kerja, perolehan peralatan dan pengembangan perniagaan, memastikan kesinambungan dalam penghantaran projek merentasi operasi SEB," katanya melalui satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Sharbini Suhaili berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen jangka panjang SEB dalam membangunkan ekosistem vendor yang mantap dan inklusif. Beliau berkata pendekatan SEB terhadap pembangunan vendor yang mampan dibina di atas perkongsian yang kukuh yang membolehkan perniagaan tempatan berkembang bersama syarikat milik negeri itu.

"Berkolaborasi dengan institusi kewangan dan agensi pembangunan seperti PUNB serta UOB membolehkan kami membantu vendor tempatan membina kapasiti, mengakses pembiayaan dan mengukuhkan prestasi penghantaran mereka. Ini mencerminkan komitmen kami terhadap Matlamat Pembangunan Mampan 17: Perkongsian untuk matlamat dan untuk memajukan rantaian bekalan yang berdaya tahan serta inklusif yang akan menyokong pembangunan Sarawak," katanya.

Kenyataan itu berkata Program Pembangunan Vendor (VDP) SEB memberi tumpuan kepada peningkatan tadbir urus, mengukuhkan kecekapan teknikal selain mewujudkan laluan keterlihatan yang jelas untuk rangkaian pembekalnya. 

Program Pembiayaan Vendor, akan melengkapkan inisiatif tersebut, ia dibangunkan dengan kerjasama institusi perbankan tempatan bagi meningkatkan akses kepada sokongan kewangan.

Menurut syarikat itu, penyertaan vendor tempatan telah menokok lebih daripada 70 peratus pada 2024 berbanding tahun sebelumnya, dengan kebanyakan kontrak diberikan kepada perniagaan berasaskan Sarawak.

"Ini mencerminkan usaha berterusan syarikat untuk mengukuhkan keupayaan pembekal tempatan termasuk menyokong pertumbuhan inklusif dalam komuniti perniagaan Sarawak. Selama bertahun-tahun, SEB juga telah menubuhkan pengaturan yang sama dengan beberapa institusi kewangan seperti dengan Bank Islam, RHB Bank, SME Bank dan Ikhtiar Factoring," kata Sharbini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan