Oleh Rohana Nasrah
KOTA KINABALU, 22 Nov (Bernama) -- Sabah terus memperkukuh kedudukan ekonomi dan prestasi pelaburannya sepanjang lima tahun lepas dengan pelbagai sektor giat berkembang seperti solar, minyak dan gas serta komponen bateri kereta elektrik.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata prestasi pelaburan asing di Sabah bagi tempoh 2021 hingga 2024 berjumlah RM14.77 bilion, manakala pelaburan domestik pula sebanyak RM20.61 bilion.
Bagi tempoh separuh pertama tahun ini, katanya, Sabah berjaya menarik pelaburan asing berjumlah RM6.61 bilion manakala pelaburan domestik pula mencecah RM4.79 bilion.
Hajiji berkata dasar mesra pelabur yang diamalkan kerajaan Sabah di bawah pimpinannya menjadi asas kukuh dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan asing seperti dari Korea Selatan dan China, yang masing-masing membuka kilang kerajang tembaga di Taman Perindustrian Kota Kinabalu serta kilang pembuatan kaca panel solar dan pemprosesan pasir.
“Sabah menerima berpuluh-puluh bilion nilai pelaburan (dari dalam dan luar negara) dan (pelaburan) itu sedang beroperasi sekarang ini. Apabila kita mempunyai satu dasar yang mesra pelabur, jadi ramai pelabur dalam dan luar negara datang melabur di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu temu bual eksklusif bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) oleh Pegawai Berita Rohana Nasrah dan Diah Mohd Jaiz di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya, di sini, hari ini.
Turut hadir Editor Eksekutif Meja Berita Bernama Mohd Haikal Mohd Isa dan Ketua Biro Bernama Sabah Fadzli Ramli.
Hajiji berkata pelaburan terbaharu adalah daripada pelabur Singapura yang melabur di Taman Perindustrian Minyak dan Gas di Sipitang dengan perjanjiannya dimeterai dan disaksikan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Pelabur ini membawa nilai pelaburan RM31 bilion dalam tiga fasa. Bukan sahaja dapat melonjakkan ekonomi, tetapi juga mewujudkan banyak peluang pekerjaan.
“Saya difahamkan di peringkat pelaksanaan mereka memerlukan 7,000 hingga 8,000 pekerja dan ini sekali gus dapat memberi peluang baik kepada anak-anak Sabah yang memerlukan pekerjaan,” kata Ketua Menteri Sabah itu.
Hajiji berkata pelaburan tempatan dari Semenanjung, Sarawak serta syarikat tempatan Sabah turut mendorong lonjakan tinggi prestasi pelaburan negeri.
“Galakan kerajaan kepada para pelabur cukup hebat dan dasar kerajaan Sabah yang baik membuatkan para pelabur senang hati untuk datang melabur ke negeri ini.
“Kerajaan Sabah menyediakan fasiliti (kepada para pelabur) seperti tanah, kawasan dan peraturan-peraturan bagi mempercepatkan urusan untuk mereka melaksanakan seterusnya memulakan perniagaan,” katanya.
Mengulas mengenai hasil pendapatan negeri, Hajiji berkata kerajaan Sabah juga berjaya menambah kutipan kepada RM7 bilion, berbanding RM3 bilion ketika beliau mula mengambil alih pentadbiran daripada kerajaan negeri terdahulu.
“Rizab pula sudah mencapai RM8 bilion ketika ini, berbanding tidak sampai RM3 bilion semasa saya mengambil alih pentadbiran kerajaan Sabah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial