EKONOMI > BERITA

MALAYSIA SASAR KUASAI PASARAN MAKANAN HALAL KOREA SELATAN

24/11/2025 03:54 PM

Oleh Linda Khoo

SEOUL, 24 Nov (Bernama) -- Produk halal Malaysia mampu meneroka pasaran sektor makanan mudah dan premium Korea Selatan yang pesat berkembang, berikutan permintaan yang semakin meningkat terhadap barangan halal, organik dan daripada sumber yang lestari. 

Jenama Malaysia perlu memanfaatkan pensijilan hal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang diiktiraf di seluruh dunia, selain peneraju selama sedekad dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global, sekali gus meletakkannya sebagai pilihan premium, dipercayai dan mudah untuk pengguna Korea. 

Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan Datuk Mohd Zamruni Khalid berkata ekosistem halal dan keupayaan eksport Malaysia yang mantap telah mengukuhkan statusnya sebagai rakan dagangan yang dipercayai oleh Korea Selatan.

Katanya, ini kerana pengguna negara itu semakin menerima pakai produk yang diperakui halal dan trend penggunaan yang beretika.  

Beliau berkata mengikut Statista pasaran makanan mudah negara itu itu kini bernilai US$7.27 bilion (US$1 = RM4.15) dan ia dijangka berkembang pada kadar tahunan 11.43 peratus antara 2025 dan 2030. 

“Dengan prospek yang kukuh, jenama Malaysia yang diperakui halal dan dipacu kualiti berada pada kedudukan yang baik untuk menguasai bahagian yang lebih besar dalam segmen makanan premium Korea,” katanya kepada media Malaysia. 

Beberapa jenama Malaysia, termasuk Amazin’ Graze, OldTown White Coffee, PopsMalaya dan Spritzer, berjaya mendapat sambutan di Korea Selatan, merangkumi kategori daripada snek dan minuman yang sihat hinggalah konfeksi serta air mineral. 

Oleh itu, Zamruni berkata produk dengan profil perisa Malaysia dan ASEAN, makanan siap sedia yang diperakui halal, buah-buahan tropika sejuk beku seperti durian, bahan-bahan khusus dan barangan yang diperoleh secara lestari dijangka menyaksikan pertumbuhan pesat kerana pengguna Korea mula mempelbagaikan citarasa mereka. 

Beliau menekankan tiga bidang yang boleh mengukuhkan kehadiran Malaysia dalam pasaran, iaitu pensijilan halal, rantaian bekalan yang telus, dan produk yang memenuhi kehendak pasaran. 

Zamruni menambah amalan rantaian bekalan yang telus, termasuk dokumentasi minyak sawit lestari, proses pengeluaran rendah karbon dan pertanian organik, semakin penting memandangkan pengguna Korea mencari produk yang dikeluarkan secara beretika. 

Sehubungan itu, katanya, menyesuaikan produk dengan tabiat penggunaan orang Korea seperti format hidangan tunggal, label ramuan yang jelas dan pembungkusan premium, juga boleh membantu jenama Malaysia bersaing dengan lebih berkesan.

Menurut Zamruni, pengiktirafan yang semakin meningkat terhadap halal sebagai penanda aras keselamatan, bersih dan berkualiti tinggi semakin mempengaruhi pilihan pengguna di Korea, menyebabkan lebih banyak syarikat, termasuk di luar sektor makanan untuk melancarkan rangkaian yang diperakui halal. 

Walaupun, pasaran halal Korea Selatan masih kecil, beliau berkata industri global adalah luas dan berkembang pesat, sekali gus menawarkan peluang pengembangan yang ketara. 

Oleh itu, berdasarkan keyakinan tersebut, jenama Korea Selantan mula membuat pelaburan dalam segmen itu. 

“Paris Baguette, di bawah SPC Group, melancarkan hab makanan halal pertamanya di Johor pada awal tahun ini, menggunakan Malaysia sebagai pangkalan produk konfeksi dan bakeri ke Indonesia serta Timur Tengah,” katanya. 

Zamruni berkata Pameran Perdagangan ASEAN 2025 di Pusat Pasaran Antarabangsa Korea (KINTEX) di IIsan memainkan peranan penting dalam membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia, pengeluar makanan dan pemain industri halal meneroka pasaran Korea.

“Pameran perdagangan ini menyediakan jenama halal Malaysia akses secara langsung dengan pengimport Korea, peruncit dan pengendali perkhidmatan makanan yang aktif mencari produk premium, mudah dan diperakui halal. 

“Dengan menyediakan sampel produk, sesi padanan perniagaan dan pertemuan secara bersemuka, pameran itu membantu pempamer Malaysia untuk meningkatkan kehadiran, kepercayaan dan hubungan komersial dalam salah satu pasaran makanan dan minuman yang dinamik di Asia,” tambahnya. 

Sementara itu, daripada Januari hingga September tahun ini, eksport Malaysia ke Korea Selatan meningkat 2.2 peratus tahun ke tahun kepada kira-kira US$8.9 bilion, mencerminkan perdagangan dua hala yang terus kukuh. 

Pada 2024, Korea Selatan mengimport makanan diproses dari Malaysia bernilai kira-kira US$154.8 juta, meningkat 6.1 peratus daripada tahun sebelumnya, sekali gus menunjukkan permintaan yang semakin meningkat terhadap produk halal Malaysia. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan