EKONOMI > BERITA

MALAYSIA TINGKATKAN HUBUNGAN DUA HALA DENGAN KENYA, HAPUS TARIF PRODUK PERTANIAN

24/11/2025 07:23 PM

Oleh M.Saraswathi

NAIROBI, 24 Nov (Bernama) -- Malaysia dan Kenya bersetuju untuk meningkatkan hubungan dua hala kepada perkongsian strategik, menandakan peristiwa penting bersejarah dalam hubungan diplomatik yang telah terjalin antara kedua-dua negara sejak 60 tahun.

Presiden Kenya William Samoei Ruto berkata hubungan yang dipertingkatkan itu akan memastikan kerjasama antara Putrajaya dan Nairobi digerakkan dengan tujuan dan struktur.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata perkongsian strategik itu akan merangkumi semua bidang dan import pertanian tradisional malah juga dalam teknologi baharu seperti peralihan tenaga dan transformasi digital, termasuk semikonduktor.

Kedua-dua pemimpin itu berkata demikian pada sidang media bersama selepas mengadakan pertemuan dua hala di State House, di sini.

“Kami mengukuhkan komitmen kami untuk menghapuskan halangan tarif dan bukan tarif, mengembangkan eksport Kenya ke Malaysia dan sebaliknya, serta memperdalam kerjasama dalam teknologi digital dan pembuatan berteknologi tinggi,” kata Ruto.

Beliau berkata persetujuan Anwar untuk menghapuskan tarif ke atas hasil pertanian dan daging lembu, merupakan satu langkah penting yang akan membuka peluang pasaran baharu kepada petani Kenya dan mengukuhkan asas komersial perkongsian antara kedua-dua negara.

Eksport utama Kenya ke Malaysia termasuk teh, kopi, bunga, avokado, titanium, kulit dan daging lembu, manakala eksport Malaysia ke Kenya sebahagian besarnya terdiri daripada minyak dan lemak boleh dimakan, produk kimia, elektronik, bahan kimia pertanian dan getah.

Anwar, yang berada di sini sempena lawatan rasmi pertama beliau ke negara ini berkata berkata garis panduan am dan pelaksanaan keputusan yang dibuat di Nairobi boleh dimuktamadkan sebelum lawatan Ruto tahun depan.

“Saya beri jaminan bahawa sebelum lawatan anda, kami akan memastikan beberapa garis panduan am dan pelaksanaan keputusan dibuat lebih awal, (sama ada) pada Disember, Januari, Februari. Ada beberapa bulan lagi masa, tetapi kita mesti menunjukkan bahawa kita boleh melakukannya,” kata beliau.

Ruto berkata lawatan Anwar itu berlaku pada detik yang penting bagi Kenya, ketika negara tersebut sedang membangunkan pelan hala tuju kebangsaan baharu yang diilhamkan daripada pengalaman Malaysia serta negara-negara membangun Asia yang lain, yang bangkit melalui disiplin, strategi dan komitmen terhadap kecemerlangan.

Ini merupakan lawatan pertama Perdana Menteri Malaysia dalam tempoh lebih dua dekad, selepas Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2007.

“Dalam perbincangan kami, kami bersetuju bahawa Malaysia akan menimbang perkongsian dan pelaburan merentasi bidang keutamaan kami, termasuk kerjasama dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta dalam penyelidikan dan pembangunan,” kata Presiden Kenya itu.

Menurutnya, Malaysia dan Kenya juga bersetuju untuk memperkukuh hubungan dua hala dalam sektor semikonduktor sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan modal insan dan perindustrian Kenya.

"Menerusi perkongsian strategik, Malaysia akan menyokong Kenya untuk mengembangkan teknologi semikonduktor dan keupayaan pembuatannya, termasuk dengan Universiti Kimathi, yang menjadi peneraju dalam bidang ini," katanya.

Beliau berkata sebagai sebahagian daripada agenda transformasinya, Kenya juga mempelawa sektor swasta Malaysia untuk mengambil bahagian dalam perkongsian awam-swasta, termasuk pelaburan dalam pengembangan rangkaian jalan raya melalui sistem tol, penjanaan kuasa dan pembinaan empangan.

“Kami menggalakkan syarikat Malaysia untuk memanfaatkan Kenya sebagai hab pembuatan bagi Kawasan Perdagangan Bebas Benua Afrika,” katanya.

Ruto berkata kehadiran Anwar di Nairobi tepat pada masanya memberi peluang kepada Kenya menggerakkan cita-cita besar negara itu bersandarkan kepada pengalaman luas Malaysia.

"Ketika kami bangkit, kami mendapat inspirasi daripada negara-negara seperti anda yang mengambil langkah berani menggerakkan cita-cita bagi mencapai kecemerlangan. Kenya kini bersedia untuk bergerak seiring dengan mereka,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan