PETALING JAYA, 25 Nov (Bernama) -- Industri digesa mempercepat peralihan mereka kepada model perniagaan berteraskan kecerdasan buatan (AI) berikutan lima tahun akan datang adalah tempoh kritikal dalam negara memacu ke arah matlamat 2030.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata matlamatnya memastikan perniagaan berkembang dalam cara mereka mengguna pakai teknologi, dengan AI disepadukan sebagai teras operasi dalam semua sektor, membolehkan Malaysia maju seiring dengan perkembangan global.
“Jika kita mahu mencapai pendigitalan AI, kita perlu mula melihat kepada lebih banyak sumber, kepakaran, bakat dan cara untuk membangunkan ekosistem yang akhirnya dapat menyediakan peluang kepada industri supaya kita dapat dengan bangganya menyatakan bahawa kita adalah sebuah negara dengan ekosistem pendigitalan AI,” katanya pada PIKOM LEAD 2025 Summit hari ini.
Malaysia menyasarkan untuk mencapai status negara AI menjelang 2030, dengan 2026 menjadi titik peralihan penting di bawah Pelan Tindakan AI Kebangsaan, dengan pelan itu memfokuskan pada memajukan teknologi, bakat, tadbir urus, infrastruktur dan pelaburan mampan.
Gobind menekankan bahawa walaupun kerajaan komited untuk meletakkan asas - termasuk keselamatan siber, infrastruktur digital, dasar dan kepakaran - industri kini mempunyai peranan penting dalam mentransformasikan operasi mereka.
Inisiatif utama termasuklah membangunkan Strategi Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data 2026–2030 dan menubuhkan Suruhanjaya Data bebas untuk melindungi transformasi digital melalui ekosistem negara yang komprehensif.
Beliau berkata syarikat perlu mengenal pasti jurang, memanfaatkan data dengan berkesan, mengguna pakai alat AI dan membangunkan bakat analisis untuk kekal berdaya saing berikutan pemain serantau dan global telah bergerak ke arah tersebut.
Semalam, Gobind memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerangka perundangan AI dijangka dibentangkan kepada Kabinet pada Jun tahun depan,
Beliau berkata kerangka itu digubal mengikut empat komponen utama meliputi perkara yang tidak memerlukan perundangan, perkara yang memadai dengan standard atau kaedah, elemen yang boleh ditangani melalui peraturan serta aspek yang memerlukan penggubalan undang-undang khusus.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial