KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Penunjuk ekonomi Malaysia mengukuh pada September 2025, dengan Indeks Pelopor (IP) mencatatkan kenaikan 0.8 peratus kepada 113.3 mata daripada 112.4 mata tahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
IP itu menyediakan petunjuk awal mengenai titik perubahan dalam kitaran perniagaan dan hala tuju ekonomi dalam tempoh terdekat.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata trajektori positif itu disokong oleh pertumbuhan dua digit yang kukuh dalam bilangan syarikat baharu yang didaftarkan (16.0 peratus) dan import benar semikonduktor (15.8 peratus).
“Bagaimanapun, pada asas bulan IP merosot sebanyak 0.5 peratus, dipengaruhi oleh penurunan dalam bilangan unit perumahan yang diluluskan pembinaan (-0.7 peratus) dan import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain (-0.5 peratus),” katanya dalam satu kenyataan.
Walaupun arah aliran jangka panjang terlicin IP kekal di bawah paras 100.0 mata pada September 2025, Mohd Uzir berkata ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang, disokong oleh kepelbagaian sektor dan asas domestik yang kukuh.
Beliau berkata prestasi perdagangan yang positif, pelaburan yang menggalakkan dan inflasi yang semakin mereda terus mengukuhkan daya tahan domestik, bertindak sebagai penampan yang berkesan terhadap cabaran global serta mengurangkan tekanan kos sara hidup.
“Dalam keadaan ekonomi semasa, Indeks Serentak (IS) mengekalkan pertumbuhan positifnya, dengan mencatatkan 2.6 peratus dan mencecah 129.1 mata berbanding 125.8 mata pada bulan yang sama tahun lepas.
“Peningkatan ini mencerminkan pengukuhan aktiviti ekonomi domestik, terutamanya menerusi sumbangan nilai caruman benar daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang melonjak sebanyak 15.6 peratus menggambarkan kestabilan upah dan keadaan pekerjaan,” katanya.
Pada masa sama, Mohd Uzir berkata prestasi bulan IS pulih sebanyak 0.2 peratus selepas penurunan 0.6 peratus dalam bulan sebelumnya.
“Pemulihan ini didorong oleh kenaikan 0.3 peratus dalam Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit, yang merekodkan peningkatan tertinggi antara komponen, menandakan aktiviti ekonomi domestik yang berdaya tahan,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial