EKONOMI > BERITA

LIFE WATER DARI SABAH SASAR KENAIKAN JUALAN MENJELANG TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026

26/11/2025 06:50 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Life Water Bhd, pengeluar minuman dari Sabah menjangkakan permintaan yang lebih kukuh daripada sektor pelancongan di negeri itu menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, disokong oleh ketibaan pelancong yang meningkat dan penggunaan yang stabil dari hotel serta kedai runcit.

Pengasas Bersama dan Pengarah Urusannya Liaw Hen Kong berkata unjuran 3.3 juta ketibaan pelancong ke Sabah tahun ini dijangka menyokong jualan produk syarikat itu yang lebih tinggi.

“Angka ini boleh meningkat tahun depan dengan lebih banyak ketibaan dari China, Jepun dan Thailand. Ini memberi manfaat kepada kami terutamanya melalui segmen hotel. Kami membekalkan air botol OEM (pengeluar peralatan tulen),” katanya kepada pemberita dalam taklimat media hari ini.

Menjawab soalan tentang menarik perhatian pengunjung sebaik sahaja tiba di lapangan terbang, beliau berkata Life Water mempunyai kehadiran rak yang terhad kerana pengendali lapangan terbang cenderung mengutamakan jenama premium.

“Kami ada iklankan, tetapi di Lapangan Terbang Sandakan, di mana pelancong akan dapat melihat jenama kami sebaik sahaja tiba di balai ketibaan,” katanya.

Selain itu, Liaw berkata rangkaian pengedaran syarikat itu di seluruh Sabah merangkumi kawasan luar bandar, ladang dan komuniti pulau di mana air botol kekal penting memandangkan infrastruktur air yang terhad.

“Banyak kawasan di luar bandar dan pulau-pulau kecil masih bergantung kepada air botol, jadi permintaan adalah konsisten. Kami mempunyai lebih 90 trak yang beroperasi di seluruh Sabah untuk menyokong pengedaran,” katanya.

Mengenai kos, Liaw berkata penurunan harga resin polietilena tereftalat (PET) mengurangkan kos input, sekali gus menyokong prospek operasi syarikat.

Beliau berkata resin PET merupakan bahan mentah utama syarikat untuk pengeluaran air botol, terus menunjukkan trend penurunan tahun demi tahun, jatuh kira-kira RM500 setiap tan setahun.

“Dua tahun lalu, harga resin PET sekitar RM4,500 setiap tan, tahun lepas RM4,000 dan kini hampir RM3,500 setiap tan,” katanya.

Selain itu, pengukuhan ringgit baru-baru ini juga telah membantu mengurangkan kos import kumpulan berkenaan.

Pada Isnin, Life Water mencatatkan kenaikan keuntungan bersih sebanyak 25.1 peratus kepada RM9.37 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 2026, meningkat daripada RM7.5 juta setahun sebelumnya.

Hasil juga meningkat kepada RM51.23 juta daripada RM42.59 juta, disokong oleh peningkatan jualan air minuman botol.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan