EKONOMI > BERITA

TRAFIK PENUMPANG MAHB 2025 CECAH 153.3 JUTA SEIRING PERMULAAN TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026

19/01/2026 02:30 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Pergerakan penumpang di seluruh rangkaian global Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mencecah 153.3 juta pada 2025, mencerminkan momentum positif seiring bermulanya Tahun Melawat Malaysia 2026.

MAHB dalam satu kenyataan hari ini berkata 39 lapangan terbang tempatan di bawah kendaliannya merekodkan pengendalian sebanyak 104.4 juta penumpang, meningkat 11.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Disember 2025 merupakan bulan operasi paling mencabar dengan 10 juta penumpang dikendalikan di seluruh lapangan terbang negara, mencatatkan peningkatan sebanyak 15.5 peratus berbanding tahun lepas.

"Bulan berkenaan dicirikan sebagai puncak perayaan yang sangat sibuk iaitu antara Krismas dengan Tahun Baharu apabila lebih daripada sejuta penumpang diproses dalam tempoh tiga hari berturut-turut,” kata MAHB.

Sementara itu, Pengarah Urusannya Datuk Mohd Izani Ghani berkata prestasi ini mencerminkan kekuatan dan kesiapsiagaan operasi rangkaian lapangan terbang.

"Mengendalikan lebih daripada sejuta penumpang dalam tempoh tiga hari yang padat semasa musim perayaan mencerminkan keberkesanan perancangan operasi, kerjasama erat dengan rakan kerjasama syarikat penerbangan serta dedikasi pasukan barisan hadapan kami di seluruh negara," katanya.

Jumlah penumpang pada Disember direkodkan di lapangan terbang utama diterajui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang mengendalikan 6.1 juta penumpang, menjadikan jumlah keseluruhan untuk tahun tersebut sebanyak 63.3 juta dengan peningkatan 10.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Lapangan Terbang Subang (SZB) pula mencatatkan pertumbuhan bulanan paling kukuh iaitu sebanyak 34.4 peratus kepada 191,000 penumpang berbanding 142,000 manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu merekodkan pertumbuhan jumlah penumpang sebanyak 23.5 peratus kepada 802,000.

Dalam pada itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) mencatatkan peningkatan sebanyak 23.0 peratus kepada 290,000 penumpang, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) menokok 12.2 peratus kepada 772,000 dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KCH) mencatatkan pertambahan sebanyak 10.3 peratus kepada 540,000 penumpang.

MAHB berkata perkhidmatan baharu yang dilancarkan pada Dis 2025 memperkukuhkan lagi keterhubungan di KLIA termasuk perkhidmatan tiga kali seminggu Xiamen Airlines dari Hangzhou–Kuala Lumpur di Terminal 2, penerbangan tiga kali seminggu 9 Air dari Hangzhou dan laluan dua kali seminggu Hainan Airlines dari Qionghai–Kuala Lumpur.

"Batik Air Malaysia memperkenalkan enam perkhidmatan baharu termasuk laluan ke Osaka (Kansai), Singapura (dari Ipoh, Subang dan Pulau Pinang), Kuala Namu dan Jakarta (CGK).

"Perkhidmatan tambahan juga dilancarkan oleh Firefly dengan lima penerbangan mingguan ke Cebu serta Sichuan Airlines dengan tiga perkhidmatan mingguan antara Chongqing dan Kuala Lumpur," katanya.

Sementara itu, MAHB berkata asetnya, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen di Turkiye mengendalikan 49.0 juta penumpang pada 2025, meningkat 17.5 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan 4.2 juta penumpang dicatatkan pada Disember sahaja.

MAHB berkata ia kekal memberi tumpuan untuk mengukuhkan daya tahan perkhidmatan, meningkatkan kesiapsiagaan kapasiti dan memajukan pertumbuhan berasaskan kerjasama di seluruh rangkaian lapangan terbangnya seiring dengan permintaan perjalanan yang terus meningkat di bawah Tahun Melawat Malaysia 2026.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan