EKONOMI > BERITA

SENTIMEN PASARAN MENINGKAT DIDORONG PRESTASI KEWANGAN SUKU KETIGA TEKNOLOGI, SARUNG TANGAN LEBIH BAIK - CIMB SECURITIES

27/11/2025 03:34 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Keputusan kewangan suku ketiga 2025 mencatatkan prestasi lebih baik berbanding suku kedua, menyokong sentimen pasaran berikutan pendapatan meningkat dalam sektor teknologi dan sarung tangan getah - kedua-duanya mencatatkan prestasi lemah pada separuh pertama 2025.

Menurut CIMB Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan hari ini, jumlah keuntungan bersih terkumpul bagi syarikat yang telah melaporkan pendapatan mereka meningkat sebanyak 1.1 peratus suku ke suku, didorong oleh prestasi yang lebih kukuh dalam sektor pembinaan, amanah pelaburan hartanah, pengangkutan dan institusi kewangan bukan perbankan.

Bagaimanapun, katanya jumlah keuntungan bersih merosot 2.1 peratus tahun ke tahun, sebahagian besarnya disebabkan kerugian di Petronas Chemicals Group Bhd.

Menurut firma penyelidikan itu, sebanyak 65 syarikat di bawah liputannya, menyumbang 70 peratus daripada jumlah tersebut, telah mengeluarkan keputusan kewangan mereka.

Daripada jumlah tersebut, katanya sebanyak 23 peratus (15 syarikat) melebihi jangkaan, 23 peratus tidak mencapai jangkaan dan baki 54 peratus (35 syarikat) memenuhi jangkaan setakat 26 November.

Mengenai dividen, sebanyak 18 peratus syarikat di bawah liputan CIMB Securities mengumumkan pembayaran tahun ke tahun yang tinggi pada suku ketiga 2025 manakala lapan peratus mengumumkan pengagihan yang lebih rendah.

Antara konstituen KLCI di bawah liputan, sebanyak 19 daripada 30 syarikat (63 peratus) telah melaporkan, dengan 32 peratus (enam syarikat) melebihi jangkaan dan 16 peratus (tiga syarikat) tidak mencapai jangkaan. 

“Ini membawa kepada nisbah melebihi jangkaan kepada tidak mencapai jangkaan sebanyak 2.0, jauh lebih kukuh berbanding nisbah 1.0 untuk seluruh liputan kami, menunjukkan bahawa syarikat permodalan besar mencatatkan keputusan yang lebih kukuh dan melebihi jangkaan,” katanya.

Ia mengetengahkan SD Guthrie Bhd dan KL Kepong Bhd kerana melebihi jangkaan, didorong oleh sumbangan sektor perladangan yang kukuh disokong oleh purata harga jualan produk sawit yang lebih tinggi.

AMMB Holdings Bhd dan Malayan Banking Bhd turut melebihi jangkaan, mendapat manfaat daripada peruntukan dan penurunan nilai yang lebih rendah selain pendapatan berasaskan dana yang berdaya tahan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan